X

Kindly register in order to view this article
!

Hibah TH dijangka lebih tinggi

Kadar hibah lebih tinggi dijangka dinikmati 8.71 juta pendeposit termasuk 87,000 akaun simpanan baharu.
A
A

KUALA LUMPUR - Lembaga Tabung Haji (TH) menjangkakan pembayaran hibah kepada 8.71 juta pendepositnya bagi tahun kewangan 2019 adalah lebih tinggi berbanding tahun lalu.

Pembayaran hibah (dividen) bagi tahun 2019 dijangka lebih baik berbanding sebelum ini.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Nik Mohd Hasyudeen Yusoff berkata, kewangan Tabung Haji kini berada pada landasan yang tepat dan keyakinan itu berdasarkan prestasi kewangan lembaga tersebut sehingga suku ketiga tahun ini.

“Alhamdulillah, pencapaian prestasi kewangan TH pada suku ketiga tahun ini positif sehingga September lepas. Insya-ALLAH pembayaran hibah akan lebih baik daripada 2018,” katanya selepas Majlis Penyerahan Kenderaan Dwifungsi Program Mobiliti TH 2019 di Menara Tabung Haji di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita mengenai jangkaan hibah bagi tahun kewangan 2019 yang bakal diumumkan TH berikutan pengalisis sebelum ini menyifatkan prestasi kewangan TH sebagai sebagai amat positif.

April lalu, TH mengumumkan agihan hibah 1.25 peratus membabitkan pengagihan berjumlah RM913 juta kepada semua pendeposit bagi tahun kewangan 2018.

Baru-baru ini, Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid yakin TH dapat mengumumkan hibah yang lebih tinggi bagi 2019 berikutan prestasi ekonomi yang lebih baik.

Prestasi suku ketiga TH dilihat semakin baik dengan jumlah aset terus mengatasi tanggungan sebanyak RM2.3 bilion, lebih tinggi berbanding RM1 bilion pada 2018.

TH juga mencatatkan keuntungan bersih berjumlah RM500 juta pada suku ketiga 2019, meningkatkan keuntungan untuk tempoh sembilan bulan pertama kepada RM1.3 bilion.

Bercakap kepada Bernama, Mohd Afzanizam selain itu berkata, TH juga mendapat pengukuhan daripada sokongan penyimpan dengan lebih 87,000 akaun simpanan yang baharu.

“Daripada beberapa sudut, ini mencerminkan peningkatan keyakinan dalam kalangan umat Islam Malaysia. Walaupun hibah boleh menjadi lebih baik pada tahun ini, pendeposit perlu menyedari prospek bagi pasaran kewangan adalah tidak menentu berikutan perang perdagangan yang berterusan.

“Oleh itu, mereka seharusnya menjangkakan kadar hibah yang bersesuaian memandangkan keadaan pasaran kewangan adalah masih tidak stabil,” katanya.Sehingga 30 November lalu, TH mempunyai 8.71 juta pendeposit termasuk 87,000 akaun simpanan baharu.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!