Jadual Liga-M 2020 tak jejas persiapan Harimau Malaya

Cheng Hoe
Cheng Hoe
A
A
A

KETUA jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menyifatkan Liga Malaysia (Liga-M) 2020 yang bakal membuka tirai pada 28 Februari depan dijangka tidak akan menjejaskan persiapan skuad kebangsaan.

Ini kerana Cheng Hoe mendedahkan beliau telah mengadakan perbincangan awal terlebih dahulu bersama Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sebelum kalendar bola sepak tempatan itu dikeluarkan.

Sebelum ini, MFL dalam satu kenyataan rasmi mengumumkan saingan Liga Malaysia akan bermula pada 28 Februari depan dengan aksi Piala Sumbangsih akan membuka tirai terlebih dahulu menemukan juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan juara Piala FA, Kedah.

Bagaimanapun, dalam masa yang sama skuad kebangsaan perlu melakukan persiapan menjelang kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di mana Malaysia dijadualkan bertemu Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 26 Mac depan.

Cheng Hoe tidak berpendapat jadual Liga-M ini bermula agak lewat kerana beliau bersama-sama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan MFL sudah pun berbincang awal dengan mengambil kira pelbagai faktor sebelum menetapkan tarikh sepak mula.

“Kami di bahagian pengurusan FAM dan MFL memang selalu berbincang mengenai jadual pasukan untuk saingan Liga-M dan skuad kebangsaan.

“Dalam masa yang sama, saya mendapat maklum balas yang baik daripada MFL dan kami pun sama-sama bersetuju dengan keputusan tersebut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Cheng Hoe menyifatkan Liga-M 2020 yang bakal membuka tirai 28 Februari depan tidak menjejaskan persiapan Harimau Malaya. - Foto: Football Association of Malaysia (Official)
Cheng Hoe menyifatkan Liga-M 2020 yang bakal membuka tirai 28 Februari depan tidak menjejaskan persiapan Harimau Malaya. - Foto: Football Association of Malaysia (Official)

Menurutnya, beliau percaya barisan pemain mampu mendapatkan momentum terbaik dalam masa yang ada baik di saingan liga dan pasukan kebangsaan.

“Saya juga selalu mengingatkan kepada pemain-pemain bahawa mereka kena pandai selaraskan masa dan sesuaikan diri dengan cepat dalam suasana ketika aksi dalam liga dan pasukan kebangsaan.

“Saya sebagai jurulatih sentiasa positif bahawa prestasi pemain-pemain akan terus konsisten sebaik sahaja liga bermula dan saya juga tidak mahu mereka berasa terlalu padat dengan jadual kemudian cepat penat di kemudian hari,” katanya.

Skuad Harimau Malaya kini berada di kedudukan selesa di tangga kedua Kumpulan G selepas mencatat tiga kemenangan ke atas Indonesia dan Thailand dengan sembilan mata.Mereka perlu mengharungi baki tiga lagi perlawanan penting pada tahun hadapan bermula dengan perlawanan berdepan UAE pada 26 Mac diikuti Vietnam pada 31 Mac sebelum menamatkan saingan kumpulan menentang Thailand pada Jun.