Cheng Hoe tak sangka menang mudah

Pemain Selangor FC, Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi (kiri) meraikan gol kedua bersama rakan pasukan, Quentin Jiun-Ho Cheng. - Foto Bernama
Pemain Selangor FC, Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi (kiri) meraikan gol kedua bersama rakan pasukan, Quentin Jiun-Ho Cheng. - Foto Bernama
A
A
A

PENGENDALI Selangor FC, Tan Cheng Hoe tidak menyangka pasukannya mampu menang mudah 4-0 ke atas Sri Pahang FC dalam aksi pusingan 16 Piala FA di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya pada Sabtu.

Menurutnya, pemain Gergasi Merah menunjukkan taktikal disiplin yang cukup baik sekali gus mengatasi cabaran yang mahu diberikan pasukan lawan.

"Itulah hasil daripada konsentrasi dan juga semangat berpasukan kita dapat menjaringkan empat gol dan saya sebagai jurulatih agak terkejut.

"Secara keseluruhan saya rasa semua pemain layak untuk menang. Saya harap untuk aksi berikutnya, pasukan kena kekalkan taktikal disiplin dan juga konsisten setiap perlawanan," katanya.

Dalam perlawanan itu, Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi tampil dengan persembahan berkualiti meledak dua gol dan masing-masing satu gol menerusi Faisal Halim dan Brendan Gan.

Cheng Hoe turut menjelaskan sudah mengkaji terlebih dahulu kelemahan Sri Pahang.

"Sebelum perlawanan, Sri Pahang turun dengan rekod tanpa kalah dalam liga dan mereka terbaik dari segi permainan dan individu.

"Kita tahu sedikit sebanyak mengenai permainan mereka dan dapat mengatasi setiap kelemahan mereka. Saya tahu pemain nak kemenangan ini untuk layak ke peringkat seterusnya," katanya.

Negeri Sembilan FC akan menanti skuad bimbingan Cheng Hoe di pusingan suku akhir pada 28 Mei ini.