Kongres Cuepacs cadang semak gaji penjawat awam

Ismail (tengah) dan Azih (tiga dari kanan) bergambar selepas selesai perasmian Konvensyen Kongres Tritahunan Cuepacs ke-28 di Pusat Konvensyen Shah Alam. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
Ismail (tengah) dan Azih (tiga dari kanan) bergambar selepas selesai perasmian Konvensyen Kongres Tritahunan Cuepacs ke-28 di Pusat Konvensyen Shah Alam. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
A
A
A

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mencadangkan kerajaan melaksanakan semakan gaji penjawat awam setiap lima tahun sekali.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, cadangan itu membolehkan kerajaan membantu penjawat awam lemah pendapatan bulanan terutama kumpulan pelaksana sokongan yang rata-rata berstatus berpendapatan sederhana atau rendah.

Selain itu, beliau menegaskan, Cuepacs turut menuntut kerajaan mempertimbangkan cadangan menaikkan gaji minimum penjawat awam kepada sekurang-kurangnya RM1,800 sebulan.

"Kami mengharapkan kerajaan dapat mempertimbangkan kenaikan gaji untuk penjawat awam kerana ketika ini gaji minimum yang dibayar sebanyak RM1,200 sudah menyamai gaji minimum sektor swasta.

"Kami turut melihat peri pentingnya gaji penjawat awam disemak setiap lima tahun sekali dengan mengambil kira ukuran pencapaian prestasi dan produktiviti mereka.

"Cuepacs yakin inisiatif itu bukan sahaja memberi manfaat kepada golongan penjawat awam tetapi turut membantu merancakkan ekonomi setempat selepas golongan tersebut mempunyai tambahan kuasa berbelanja," katanya kepada media pada Konvensyen Kongres Tritahunan Cuepacs ke-28 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini semalam.

Konvensyen tersebut dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ismail Bakar dan turut dihadiri Timbalan Presiden 1 Cuepacs, Zainal Ismail.

Azih berkata, berdasarkan situasi semasa, gaji penjawat awam kini sudah tepu dengan sebahagian besar perbelanjaan gaji tertumpu kepada kemampuan membayar hutang membeli aset dan perbelanjaan utiliti sahaja.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, Cuepacs juga turut mencadangkan kadar gaji minimum ditetapkan kepada golongan penjawat awam sekurang-kurangnya sebanyak RM1,800 sebulan.

"Jika lihat statistik kajian Cuepacs, bagi seorang individu untuk hidup di Lembah Klang, mereka memerlukan pendapatan tidak kurang RM2,600 manakala bagi yang berkeluarga perlu ada pendapatan lebih RM4,000 sebulan.

"Justeru, langkah kerajaan menaikkan gaji penjawat awam adalah keputusan yang terbaik bagi membantu penjawat awam yang lemah pendapatan menjalani kehidupan yang lebih baik dan sejahtera," katanya.

Sementara itu, dalam ucapan aluannya, Azih sekali lagi menekankan pendirian Cuepacs menuntut kerajaan tidak sesekali menghentikan skim pencen penjawat awam pada masa hadapan.

Menurutnya, pelaksanaan skim itu telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan sebarang langkah memansuhkannya akan memberi implikasi yang tidak baik terhadap kebajikan penjawat awam pada masa hadapan.