Cadangan kurangkan perjawatan awam pandangan rambang menteri

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ismail Bakar menyampaikan anugerah Bintang Jasa Terbilang CUEPACS kepada Presiden ANGKASA, Datuk Abdul Fattah Abdullah pada majlis Konvensyen Kongres Tritahunan CUEPACS Ke 28 yang diadakan di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC). -Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ismail Bakar menyampaikan anugerah Bintang Jasa Terbilang CUEPACS kepada Presiden ANGKASA, Datuk Abdul Fattah Abdullah pada majlis Konvensyen Kongres Tritahunan CUEPACS Ke 28 yang diadakan di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC). -Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
A
A
A

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyifatkan cadangan kerajaan mengurangkan perjawatan awam sebanyak lima peratus sehingga tahun 2021 oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohamed Hanipa Maidin sebagai satu pandangan rambang.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, kenyataan dikeluarkan Mohamed Hanipa yang melibatkan masa depan 80,000 penjawat awam juga disifatkan tidak selari dengan pandangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Cuepacs sebelum ini.

Menurutnya, Dr Mahathir sebenarnya mahu mengurangkan saiz perjawatan awam meneruskan langkah mengurangkan perjawatan tidak diisi berjumlah satu peratus daripada saiz keseluruhan penjawat awam sebanyak 1.7 juta.

"Melalui kaedah itu, kerajaan akan memastikan perjawatan tidak diisi akan ditarik balik secara berperingkat, bukannya hendak mengurangkan atau jadikan jumlah perjawatan awam yang masih menyandang jawatan dibersarakan.

"Sekiranya jumlah perjawatan awam benar-benar mahu dikurangkan sebanyak lima peratus, Cuepacs tidak setuju kerana ianya satu jumlah besar dan akan menambahkan indeks pengangguran negara, lebih-lebih lagi sejumlah 10.7 peratus daripada ribuan graduan lepasan universiti dan kolej ketika ini masih ramai menganggur," katanya kepada media pada Konvensyen Kongres Tritahunan Cuepacs ke-28 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini hari ini.

Konvensyen itu dirasmikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ismail Bakar dan turut dihadiri Timbalan Presiden 1 Cuepacs, Zainal Ismail.

Beliau berkata demikian sewaktu diminta mengulas kenyataan Mohamed Hanipa yang menegaskan Putrajaya merancang mengurangkan perjawatan awam sebanyak lima peratus sehingga 2021.

Menurutnya, kerajaan berpandangan jumlah perjawatan sebanyak 1.7 juta boleh dikurangkan tanpa menjejaskan prestasi penyampaian perkhidmatan dan punca pendapatan pegawai terlibat.

Artikel Berkaitan:

Jumlah keseluruhan perjawatan perkhidmatan awam sehingga suku ketiga 2019 adalah sebanyak 1.7 juta dengan peratus pengisian sebanyak 91.26 peratus bersamaan dengan 1.57 juta orang.

Azih berkata, kerajaan juga tidak boleh melihat usaha mengurangkan saiz penjawat awam secara pukal.

Menurutnya, terdapat perkhidmatan awam yang bersifat wajib merangkumi bidang perguruan, kesihatan, keselamatan dan keamanan di mana golongan ini memainkan peranan penting dalam pembentukan negara makmur dan sejahtera.

"Justeru Cuepacs mengulangi pendirian memohon kerajaan mengekalkan saiz penjawat awam seperti sedia ada," katanya.