Penduduk harap banjir cepat reda

Maszlee melawat mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan Sungai Linau hari ini.
Maszlee melawat mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan Sungai Linau hari ini.
A
A
A

SIMPANG RENGGAM - Penduduk Kampung Parit 3A yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Sungai Linau sejak Sabtu lalu berharap banjir segera pulih bagi membolehkan mereka pulang ke kediaman masing-masing.

Kebanyakan mangsa banjir ditemui memberitahu bahawa mereka tidak menyangka kampung berkenaan dilanda bah tahun ini berikutan kali terakhir bencana itu berlaku 13 tahun lalu.

Zawiyah Mohd, 63, berkata, dalam kejadian mencemaskan sebelum ini, air di kawasan rumahnya naik mendadak sebaik sahaja dia pulang dari kenduri kahwin kira- kira jam 7 petang, Sabtu lalu.

"Saya dan suami, Samat Tukiran, 70, mengambil keputusan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sungai Linau yang terletak kira-kira 500 meter dari rumah.

"Terkejut air naik begitu cepat, memang tak sangka langsung sebab sudah lama tak banjir di sini. Kali terakhir 2006," katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Zawiyah bagaimanapun turut bersyukur berada di PPS yang disifatkannya dalam keadaan terjaga termasuk makanan dan kesihatan.

Sementara itu Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan semua pihak seperti Syarikat Air Johor dan juga Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi memastikan penambahbaikan sistem pengairan khusus di Parlimen tersebut bagi mengatasi masalah banjir.

"Mulai 2020, sistem perparitan sekurang-kurangnya dapat mengatasi banjir. Kita akan bekerjasama dengan JPS. Selain itu, parit-parit dan sungai-sungai akan dibersihkan daripada masalah sampah," katanya.

Artikel Berkaitan: