X

Kindly register in order to view this article
!

Jersi Ozil dibakar penyokong Arsenal di China

Antara jersi dan barangan cenderahati Ozil yang dibuang penyokong Arsenal di China.
A
A

KELANTANGAN bintang Arsenal, Mesut Ozil mengutuk penindasan etnik Islam Uighur di China mengundang kemarahan penyokong The Gunners di negara republik itu.

Malah, mereka turut membakar jersi milik Ozil dan memuat naik video tersebut di laman sosial media, Weibo selain banyak komen negatif yang mahukan Arsenal mengambil tindakan ke atas pemain kelahiran Jerman itu.

Akaun instagram milik Ozil juga diserbu dengan rata-rata mereka meluahkan kekecewaan terhadap kelantangan yang disuarakan pemain tengah Arsenal itu yang juga seorang pemain beragama Islam.

"Penyokong Arsenal di China sangat kecewa dengan apa yang diungkapkan Ozil yang pernah menjadi pemain kesayangan kami. Jika anda (Ozil) cuba menyerang China, kami tidak akan berdiam diri.

"Sebagai penyokong bola sepak dari China, saya sangat kecewa. Kenapa anda tidak fokus kepada bola sepak sahaja? Sebagai seorang pemain yang terkenal, anda sepatutnya tahu apa yang boleh anda katakan," kata antara komen penyokong Arsenal di Instagram Ozil.

Terdahulu, Ozil memuat naik satu status di Instagramnya yang memberikan sokongan kepada etnik Islam Uighur di China yang didakwa sedang ditindas di Xinjiang.

"(Di China) Quran dibakar, masjid, sekolah islam, madrasah ditutup. Ulama seorang demi seorang dibunuh. Tetapi orang Islam di seluruh dunia hanya mendiamkan diri," katanya yang memuat naik kenyataan berlatarbelakangkan bendera Republik Timur Turkestan yang tidak bertahan, selepas menjadi wilayah Xinjiang yang dimiliki oleh China.

Akibat dari komen Ozil itu, perlawanan siaran langsung Arsenal menentang Manchester City di China dibatalkan oleh stesen televisyen di negara itu.

Pengurusan Arsenal juga terpaksa mengeluarkan kenyataan memohon maaf dan menyifatkan kenyataan Ozil itu tidak menggambarkan pendirian kelab.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!