Orang Asli Lanai minta kerajaan kaji semula pembinaan empangan

Wakil Orang Asli Pos Lanai, Cameron Highlands Jeffry Hassan (kanan) menyerahkan surat kepada Pegawai Pejabat Peguam Negara Wasri Ahmad Sujani di Jabatan Peguam Negara hari ini berhubung tanah adat mereka yang diceroboh. - Foto Bernama
Wakil Orang Asli Pos Lanai, Cameron Highlands Jeffry Hassan (kanan) menyerahkan surat kepada Pegawai Pejabat Peguam Negara Wasri Ahmad Sujani di Jabatan Peguam Negara hari ini berhubung tanah adat mereka yang diceroboh. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Jawatankuasa Bertindak Tanah dan Wilayah Adat Orang Asli Pos Lanai meminta kerajaan mengkaji semula pembinaan Projek Hidroelektrik Empangan Telom di Pos Lanai di Kuala Lipis, Pahang.

Pengerusinya, Jeffry Hassan berkata, kerajaan perlu meneliti kesan sampingan projek Tenaga Nasional Bhd (TNB) itu terhadap kira-kira 2,000 masyarakat Orang Asli, selain impak alam sekitar kepada hutan seluas 7,600 hektar yang menjadi sumber pendapatan mereka.

Menurutnya, jawatankuasa itu memfailkan injunksi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk menghalang pembinaan empangan itu pada Mei 2015 namun TNB berjaya memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi Temerloh pada Ogos 2016 di mana jawatankuasa itu gagal dalam injunksi untuk menghalang TNB membuat kerja-kerja pembinaan empangan di Pos Lanai.

Sehingga kini, katanya, tiada kerja-kerja pembinaan empangan dilaksanakan di Pos Lanai dan beliau berharap kerajaan dapat memberi jawapan berhubung pembinaan yang terletak di bawah Parlimen Cameron Highlands itu.

Terdahulu, Jeffry bersama Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia, A. Sivarajan, menghantar surat kepada Pegawai Pejabat Peguam Negara, Wasri Ahmad Sujani bagi meminta pengecualian tuntutan kos mahkamah sebanyak RM12,000 dengan alasan mereka berjuang mempertahankan hak yang sah.

Jeffry berkata, pada 28 Ogos tahun lepas, beliau menerima surat daripada Pejabat Peguam Negara menuntut kos mahkamah yang diberikan bagi pihak TNB, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan kerajaan Malaysia selepas gagal dalam permohonan injunksi.

“Kami tidak mampu untuk melunaskan kos tuntutan sebanyak RM12,000 iaitu masing-masing RM3,000 untuk TNB, JAKOA, kerajaan dan mahkamah. Walaupun kos itu nampak kecil namun ia amat membebankan,” katanya.

Ditanya sama ada TNB menawarkan pampasan kepada Orang Asli yang bersetuju dengan pembinaan Empangan Telom, Jeffry mendakwa ada dalam kalangan mereka yang ditawarkan wang tunai sehingga RM100,000 bergantung kepada tanaman di kawasan tanah terlibat.

Artikel Berkaitan:

“Itu hanya janji mulut sahaja, tiada hitam putih. Ekoran janji itu lebih 1,000 penduduk setempat menyatakan persetujuan untuk pembinaan empangan ini namun, kami kekal menentang kerana memikirkan masa depan dan tanah adat kami telah diwarisi sekian lama,” katanya. - Bernama