30 kes tatatertib direkodkan PDRM Kelantan

Lapan buah diserahkan pada peringkat pertama dan akan ditambah pada peringkat kedua dijangka tahun depan.
Lapan buah diserahkan pada peringkat pertama dan akan ditambah pada peringkat kedua dijangka tahun depan.
A
A
A

KOTA BHARU - Sebanyak 30 kes membabitkan tindakan tatatertib terhadap anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) direkodkan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Kontinjen Kelantan dalam tempoh lima tahun bermula 2014 sehingga November 2019.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, siasatan dan tindakan berkenaan dibuat hasil aduan yang diterima pihaknya termasuk menerusi pemeriksaan pematuhan dan pengesanan yang dilakukan terhadap anggota polis.

“Daripada jumlah itu, 11 anggota sudah diambil tindakan tahan kerja dan sembilan lagi digantung tugas manakala 10 kes lagi masih dalam siasatan.

“Kertas siasatan tatatertib dan kes untuk siasatan dalaman itu dibuat melibatkan salah laku anggota membabitkan kesalahan jenayah, narkotik dan rasuah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Outlander di Dataran Kawad Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.

Penyerahan peringkat pertama itu membabitkan sejumlah lapan Mitsubishi Outlander 2.4 (AT) bernilai RM1.1 juta diserahkan kepada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kelantan serta diagih dua kepada IPK manakala masing-masing satu di enam daerah terpilih.

Dalam pada itu, Abdullah berkata, pemeriksaan pematuhan itu akan terus dilaksanakan bagi memastikan setiap anggota mengutamakan disiplin diri dan pematuhan dalam setiap aspek penugasan sekaligus dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

“Semua peringkat anggota yang bekerja perlu berintegriti dan beri perkhidmatan terbaik. Tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi terhadap anggota yang ingkar arahan.

Artikel Berkaitan:

“Tindakan ini selaras dengan fokus utama digariskan Ketua Polis Negara (Tan Sri Abdul Hamid Bador) iaitu untuk meningkatkan integriti dan akauntabiliti dalam pasukan PDRM,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau mengingatkan penduduk di negeri ini terutama yang tinggal berhampiran kawasan pantai supaya berwaspada berikutan amaran angin kencang dan laut bergelora peringkat kedua dijangka sehingga Isnin ini.

“Saya minta orang ramai supaya peka terhadap amaran MetMalaysia ( Jabatan Meteorologi Malaysi) dan tidak mendekati kawasan pantai untuk segala aktiviti perkapalan, air dan sebagainya.

“Aktiviti memancing atau bot-bot pelancong juga perlu ditangguhkan terlebih dahulu bagi mengelak risiko bahaya dalam keadaan cuaca monsun timur laut ini,” katanya.