Hampir 10,000 mangsa banjir di Johor dipindahkan malam ini

Anggota Bomba dan Penyelamat Renggam membawa mangsa banjir Bahrain Nuai (duduk), 70, bersama isterinya menaiki sebuah bot untuk dipindahkan ke Pusat Pemindahan Banjir (PPB) akibat kawasan yang makin terjejas disebabkan paras air yang semakin naik di Parit 3B Kampung Sungai Linau hari ini. -FOTO- BERNAMA
Anggota Bomba dan Penyelamat Renggam membawa mangsa banjir Bahrain Nuai (duduk), 70, bersama isterinya menaiki sebuah bot untuk dipindahkan ke Pusat Pemindahan Banjir (PPB) akibat kawasan yang makin terjejas disebabkan paras air yang semakin naik di Parit 3B Kampung Sungai Linau hari ini. -FOTO- BERNAMA
A
A
A

KUALA LUMPUR - Hampir 10,000 mangsa banjir dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) dengan Johor mencatat jumlah tertinggi sebanyak 9,043 orang daripada 2,448 keluarga yang dipindahkan setakat 9 malam ini.

Jumlah berkenaan meningkat mendadak berbanding 5,592 orang daripada 1,549 keluarga pada jam 5 petang tadi.

Exco Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar negeri, Tan Chen Choon berkata, kesemua mangsa ditempatkan di 83 PPS iaitu 28 di Kluang, Segamat (19), Kota Tinggi (17), Mersing (10), Johor Bahru (3), Batu Pahat (2), Kulai (2) dan masing-masing sebuah di Muar dan Pontian.

Katanya, Kluang mencatatkan mangsa paling ramai iaitu 2,611 orang daripada 733 keluarga, diikuti Kota Tinggi pula 2,552 orang daripada 664 keluarga.

Selain Johor, jumlah mangsa yang dipindahkan di Pahang turut meningkat, Melaka kekal dengan jumlah sama, manakala Sarawak pula menjadi negeri terbaharu dilanda bencana alam terbabit.

Di Pahang, mangsa banjir di Rompin, satu-satunya kawasan dilanda banjir setakat ini, semakin bertambah apabila sebuah lagi PPS dibuka, menjadikan keseluruhannya 10 PPS beroperasi malam ini.

Setakat 7.20 petang tadi, portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan mangsa banjir daerah itu kini berjumlah 858 orang daripada 232 keluarga, bertambah daripada 790 orang melibatkan 204 keluarga petang tadi.

Di Melaka, setakat 8 malam, keadaan tidak berubah dari petang tadi dengan 13 orang penduduk melibatkan tiga keluarga dari Kampung Bukit Balai dipindahkan ke PPS di Kompleks Jawatankuasa Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Japerun) Durian Tunggal, Bukit Balai.

Artikel Berkaitan:

Di Sarawak, sebuah PPS dibuka di Dewan Suarah, Marudi di Miri pada 4.45 petang tadi berikutan hujan lebat dan air pasang tinggi yang menyebabkan beberapa kawasan rendah dinaiki air.

Jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Mejar Ismail Mahedin berkata seramai 11 mangsa daripada dua keluarga ditempatkan di pusat berkenaan. - Bernama