Seorang kanak-kanak maut susulan gempa di selatan Filipina

Antara bangunan di pasar Padada yang musnah akibat gempa 6.8 magnitud yang menggegar selatan Filipina hari ini. - Foto Reuters
Antara bangunan di pasar Padada yang musnah akibat gempa 6.8 magnitud yang menggegar selatan Filipina hari ini. - Foto Reuters
A
A
A

MANILA - Gempa bumi berkekuatan 6.8 magnitud melanda berhampiran bandar Davao, Filipina hari ini dan meragut nyawa seorang kanak-kanak, memusnahkan bangunan dan menyebabkan kecederaan.

Menurut Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa terbabit berpusat 61 kilometer barat daya Davao di pulau Mindanao, pada kedalaman 28.2 kilometer.

Pusat Amaran Tsunami Pasifik berkata, tiada amaran tsunami dikeluarkan susulan gempa terbabit.

Datuk Bandar Matanao yang terletak di wilayah Davao del Sur berhampiran pusat gempa, Vincent Fernandez memberitahu Radio DZMM bahawa seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun meninggal dunia akibat ditimpa runtuhan.

Fernandez menambah, tahap kerosakan masih belum dapat dipastikan namun pihak berkuasa memerlukan sumbangan makanan, air serta selimut bagi membantu penduduk yang terjejas akibat gempa.

Sementara itu, pegawai maklumat awam bandar Magsaysay, Anthony Allada, berkata, 14 orang mengalami kecederaan ringan.

Jalan raya dan bangunan termasuk pejabat kerajaan turut musnah dan bekalan elektrik di bandar itu turut terputus.

Presiden Rodrigo Duterte, yang berasal dari Davao dilaporkan berada di bandar itu ketika gempa berlaku.

Artikel Berkaitan:

"Beliau berada dalam keadaan baik. Beliau dan anak perempuannya, Kitty berada di dalam rumah ketika gempa.

"Wanita Pertama, Honeylet dalam perjalanan pulang apabila gempa terjadi. Dia berkata, keretanya bergoyang namun dia tidak cedera," kata jurucakap presiden, Salvador Panelo.

Terdahulu, wilayah berkenaan digegar empat gempa bumi kuat pada bulan Oktober dan November lalu yang meragut sekurang-kurangnya 20 nyawa. - Agensi