X

Kindly register in order to view this article
!

Banjir: Mersing terputus hubungan, jadi pekan koboi

Bandar Mersing yang sering kali menjadi tumpuan pelancong pada hujung minggu tidak ubah seperti ‘pekan koboi’ hari ini selepas terputus hubungan dengan daerah lain ekoran bencana banjir yang melanda daerah itu sejak semalam. Foto: Pembaca
A
A

MERSING - Bandar Mersing yang seringkali menjadi tumpuan pelancong pada hujung minggu tidak ubah seperti ‘pekan koboi’ hari ini selepas terputus hubungan dengan daerah lain ekoran bencana banjir yang melanda daerah itu sejak semalam.

Tinjauan Bernama di beberapa tempat termasuk kawasan riadah Taman Laut Sultan Iskandar dan pusat perniagaan Mersing Harbour Centre di sini petang tadi mendapati tempat tarikan itu lengang tanpa pengunjung malah kebanyakan premis perniagaan juga ditutup.

Di beberapa buah jalan pula, tidak banyak kereta mahupun motosikal kelihatan lalu-lalang seperti kebiasaan.

Keadaan ini sekali gus mengundang ‘resah’ kepada beberapa orang peniaga jika berterusan kerana ramai daripadanya bergantung sepenuhnya kepada kehadiran pelancong untuk melariskan jualan.

Pengusaha keropok lekor Siti Jumiria Nasir, 38, berkata, jualannya susut mendadak selepas daerah itu dilanda banjir.

"Selalunya apabila tiba musim cuti sekolah, kunjungan orang ramai tidak putus-putus tetapi apabila Mersing dilanda banjir ditambah pula beberapa laluan ke sini sudah ditutup, maka, secara tak langsung perniagaan saya terjejas.

“Jadi saya berharap agar banjir ini cepat surut supaya semuanya kembali kembali normal seperti biasa,” katanya yang hanya berniaga ​​​​​berhampiran Dataran Kembara di sini.

Bagi peniaga makanan ringan Abdul Rahman Abdul Bakar, 50, yang sudah berniaga selama 14 tahun pula, dia bergantung sepenuhnya kepada hasil jualan makanan untuk menyara keluarga.

“...tetapi apakan daya, hujan lebat. Jadi terpaksa tutup kedai sekejap dan baru hari ini buka semula tetapi kurang pelanggan,” katanya.

Banjir sejak semalam menjejaskan seramai 1,282 mangsa daripada 363 keluarga di Mersing setakat ini.

Kejadian turut mengakibatkan beberapa jalan yang menghubungkan daerah berkenaan dengan kawasan seperti Kota Tinggi, Johor Bahru dan Rompin ditutup untuk semua jenis kenderaan kerana dinaiki air.

Banjir juga dilaporkan berlaku di lapan daerah lain iaitu Kota Tinggi, Johor Bahru, Kulai, Pontian, Kluang, Batu Pahat, Muar dan Segamat. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari.Langgan Sekarang!

Polisi Data Peribadi Karangkraf