X

Kindly register in order to view this article
!

Ideologi komunis: Veteran tentera mahu kerajaan bertindak tegas

Azizan (kanan) dan Husnal hadir pada Himpunan Perwira-Perwira Negara Membantah Usaha Menghidupkan Fahaman Komunis di hadapan sebuah pusat beli-belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini tadi.
A
A

KUALA LUMPUR - Gerakan Reformasi Veteran Angkatan Tentera Malaysia percaya masih ada individu tertentu cuba menyebarkan ideologi komunis dalam kalangan masyarakat.

Justeru mereka mendesak kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap individu dan kumpulan yang terbabit dengan penyebaran ideologi komunis.

Presidennya Azizan Memali berkata, banyak isu yang membangkitkan kemarahan veteran tentera seperti bendera Malaysia terbalik, Jalur Gemilang bintang lima bucu, mesyuarat bekas ahli PKM (Parti Komunis Malaya) dan abu mayat Chin Peng.

“Kita mahu kerajaan mengambil tindakan tegas supaya ideologi ini tidak menular dalam pemikiran masyarakat kita,” katanya pada Himpunan Perwira-Perwira Negara Membantah Usaha Menghidupkan Fahaman Komunis di hadapan sebuah pusat beli-belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini hari ini.

Seramai lebih 50 individu menghadiri himpunan berkenaan termasuk veteran tentera dan ahli daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan kawalan anggota polis.

Azizan berkata, mereka akan terus menentang ideologi komunis bagi memastikan perjuangan mereka mempertahankan negara sebelum ini tidak sia-sia.

“Masih terngiang-ngiang jeritan rakan saya yang terkorban selepas ditembak komunis ketika peperangan dulu. Segala penat lelah serta pengorbanan mereka untuk memastikan rakyat hidup aman dan sejahtera perlu dihargai.

“Kami tidak akan sewenang-wenangnya membiarkan gerakan menghidupkan semula fahaman komunis wujud semula. Selagi kami masih hidup, kami akan menentang gerakan ini,” katanya.

Sementara itu, Presiden Pahlawan Patriotik Rakyat Malaysia Kapten (B) Husnal Azhari berkata, sepanjang tempoh peperangan menentang komunis, ramai anggota tentera yang terkorban dan cedera.

“Jangan kita lupakan jasa mereka yang terkorban dan cedera semata-mata mahu memastikan hidup generasi seterusnya aman dan sejahtera.

“Kami tetap solidariti dan tidak akan berundur daripada usaha mempertahankan keamanan negara,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah berkata, seramai 30 pegawai dan anggota termasuk daripada cawangan trafik di lokasi himpunan berkenaan.

“Kawalan dibuat di lokasi terbabit bermula jam 9.30 pagi hingga 12 tengah hari. Sepanjang himpunan itu berlangsung, tiada kekecohan berlaku,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus