Polis buru suspek curi beg galas dalam surau

Laporan Sinar Harian sebelum ini berhubung kes curi beg galas ketika jemaah sedang mengerjakan solat di Surau Dagang Avenue.
Laporan Sinar Harian sebelum ini berhubung kes curi beg galas ketika jemaah sedang mengerjakan solat di Surau Dagang Avenue.
A
A
A

AMPANG - Polis sedang mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes curi beg galas ketika jemaah sedang mengerjakan solat di Surau Dagang Avenue di sini Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Noor Azmi Yusoff berkata, dalam kejadian pada jam 7 malam itu, mangsa seorang pemandu lori singgah untuk solat Maghrib di surau berkenaan selepas selesai menghantar barang pelanggan di sekitar Taman Dagang.

Menurutnya, mangsa yang berusia 31 tahun itu menyedari beg galasnya dicuri selepas selesai solat.

"Antara barang yang hilang ialah dokumen peribadi, sebuah telefon bimbit, pakaian serta sejumlah wang tunai," katanya.

Menurutnya, berdasarkan siasatan dan semakan rakaman kamera litar tertutup di dalam surau mendapati seorang lelaki telah mencuri beg galas pengadu ketika jemaah surau sedang sujud.

Suspek mencuri beg galas ketika jemaah sedang mengerjakan solat di Surau Dagang Avenue Khamis lalu.
Suspek mencuri beg galas ketika jemaah sedang mengerjakan solat di Surau Dagang Avenue Khamis lalu.

"Kes ini juga turut tular di Facebook dan aplikasi WhatApp yang menunjukkan video suspek sedang mencuri beg berkenaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Orang awam yang mempunyai maklumat bolehlah menyalurkan maklumat kepada pegawai penyiasat kes Sarjan Nurhaziq Norizan ditalian 03-42524866 atau balai polis berdekatan.

Kes disiasat mengikut seksyen 379 Kanun Keseksaan.