Perkhidmatan Tabung Haji menyeluruh

Sabariah berkongsi khemah penginapan bersama rakan jemaah lain ketika mereka melakukan wukuf di Arafah.
Sabariah berkongsi khemah penginapan bersama rakan jemaah lain ketika mereka melakukan wukuf di Arafah.
A
A
A

KECEKAPAN Lembaga Tabung Haji (TH) sebagai institusi yang mengendalikan urusan berkaitan haji diakui ramai jemaah yang menggunakan perkhidmatan untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.

Perkhidmatan TH sangat lengkap dan menyeluruh daripada sebelum jemaah bertolak ke Tanah Suci sehingga kembali semula ke tanah air.

Jemaah, Sabariah Ismail, 56, berkata, dia berpeluang mengerjakan haji buat pertama kali bersama suami, Kamarazaman Abdul Rahman, 59, tahun lalu selepas permohonan dibuat pada tahun 2008.

Menurutnya, ketika itu, ada saudara-mara termasuk kedua ibu bapanya menggunakan khidmat agensi swasta untuk menguruskan pakej haji tetapi dia dan suami sanggup menunggu giliran mereka.

“TH sudah memaklumkan kepada kami kerana tempoh giliran ialah 10 tahun... memang lama tapi kami sanggup tunggu sebab yakin perkhidmatan haji diuruskan TH adalah yang terbaik.

“Harga yang ditawarkan sangat berbaloi untuk seorang jemaah iaitu kurang daripada RM10,000 untuk 48 hari berada di Madinah dan Makkah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Sabariah berkata, sebelum menunaikan ibadah haji, dia dan suami mengikuti kursus haji yang disediakan TH pada setiap tahun kerana terlalu teruja dan mempunyai masa terluang walaupun ALLAH belum memberikan ‘tanda’ untuk mereka menjadi tetamu-Nya.

“Alhamdulillah akhirnya kami dijemput dan segala urusan dipermudahkan ALLAH bermula sebelum pergi, semasa berada di sana mengerjakan haji sehinggalah pulang ke tanah air,” katanya.Suri rumah itu juga percaya semua urusan dipermudahkan kerana kecekapan serta komitmen tinggi daripada kakitangan serta pengurusan tertinggi TH bagi memastikan kebajikan jemaah terjaga.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Sabariah berharap TH dapat mengasingkan jemaah haji yang pertama kali menunaikan ibadah itu supaya dapat memberi lebih kefahaman ketika taklimat dilakukan.

“Ini kerana ramai jemaah haji yang tidak ada pengalaman tidak faham dan tidak mendapat gambaran jelas dengan taklimat ringkas diberikan. Bagi yang sudah ada pengalaman menunaikan umrah macam saya, taklimat ringkas pun sudah memberi kefahaman,” katanya.

Ahmad Zamri (kiri) teruja dapat menjadi tetamu ALLAH dan menunaikan haji bersama isteri, Rubiah yang berjaya membuat rayuan untuk turut serta walaupun pada saat akhir.
Ahmad Zamri (kiri) teruja dapat menjadi tetamu ALLAH dan menunaikan haji bersama isteri, Rubiah yang berjaya membuat rayuan untuk turut serta walaupun pada saat akhir.

Seorang lagi jemaah haji, Ahmad Zamri Sulong, 60, berkata, dia dan isteri, Rubiah Omar, 38, pula berpeluang mengerjakan ibadah haji pada tahun 2017 iaitu selepas 10 tahun membuat permohonan dengan TH.

Katanya, khabar gembira daripada TH itu diterima pada akhir Disember 2016 dan sangat bersyukur kerana TH mengotakan janji seperti ditetapkan.

“Lebih seronok apabila ketika membuat pengesahan di TH, kakitangan di situ turut bertanyakan status permohonan isteri saya.“Mereka turut mencadangkan saya membuat rayuan kepada TH untuk membawa isteri menunaikan haji bersama. Alhamdulillah rayuan diterima dan rezeki kami suami isteri dapat pergi bersama,” katanya.

Bertimbang rasa

Menurutnya, dia sendiri terkejut apatah lagi kos untuk mengerjakan haji dengan TH sangat berbaloi iaitu tidak sampai RM10,000 bagi setiap jemaah.

Katanya, harga tersebut diperoleh kerana bantuan subsidi diterima daripada kerajaan negeri dan juga TH sendiri.

“Ini menunjukkan TH satu institusi haji yang sangat bertimbang rasa selain memberi kelonggaran membuat rayuan dalam tempoh singkat,” katanya.

Selain itu, bekas pesara Risda Plantation itu turut berkata, segala kebajikan jemaah haji daripada mula perjalanan sehingga tiba di Makkah dijaga dengan baik.

Katanya, selain urusan mengerjakan ibadah haji, jemaah juga tidak perlu bimbang terhadap aspek makanan, tempat penginapan dan kesihatan kerana semuanya sudah diuruskan TH.

Menurutnya, dia dan isteri tinggal di hotel yang terletak kira-kira 150 meter saja dari Masjidil Haram.

Ahmad Zamri berkata, di lobi hotel juga disediakan kaunter TH yang menempatkan kakitangan mereka bagi memudahkan jemaah haji meminta bantuan atau penjelasan jika terdapat sebarang masalah.

“TH turut menyediakan klinik di tiga zon tempat penginapan jemaah haji bagi memudahkan kami mendapatkan rawatan. Terdapat dua doktor dan jururawat yang akan mengendalikan pesakit.

“Kalau ada jemaah haji yang mungkin tidak larat atau uzur untuk ke klinik, doktor akan datang memeriksa mereka di bilik hotel tetapi jika perlukan rawatan lanjut jemaah akan dihantar ke pusat rawatan utama TH yang terletak berdekatan,” katanya.

Menurutnya, dia sendiri tidak menyangka TH amat menitikberatkan aspek kesihatan jemaah haji sehingga menyewa bangunan di sana untuk dijadikan pusat rawatan TH yang dilengkapi bukan saja doktor-doktor pakar yang dibawa dari Malaysia, malah menawarkan kemudahan perubatan dan rawatan terbaik.

“Wad pesakit, katil, ubat, ambulan dan pelbagai kemudahan rawatan semua ada sama seperti hospital di Malaysia, malah turut disediakan bas kecil percuma untuk menghantar jemaah yang hendak ke hospital sama ada untuk mendapatkan rawatan atau menziarahi jemaah lain yang menerima rawatan di hospital,” ujarnya.Katanya, dia dan isteri sememangnya berpuas hati dengan perkhidmatan diberikan TH kerana segala perkara dititikberatkan demi keselesaan dan kemudahan para jemah haji.

“Daripada bab kursus, taklimat haji, proses mengerjakan haji di sana semua sudah disusun cantik oleh TH, mengikut jadual dan kami memang selesa sangat menunaikan haji. No complaints,” katanya.