Jemaah haji Malaysia selamat sempurnakan ibadah haji

Jemaah haji melontar di Jamarat.
Jemaah haji melontar di Jamarat.
A
A
A

MAKKAH - Setelah menempuh cabaran dan dugaan ketika berada di Tanah Suci, kira-kira 31,600 jemaah haji Malaysia berjaya menyempurnakan ibadah masing-masing pada Sabtu.

Waktu kemuncak haji iaitu Wukuf di Arafah pada Selasa lalu, kemudiannya bermabit di Mudzalifah dan Mina, melontar di Jamarat, tawaf, saie dan tahalul semuanya berlangsung dengan lancar tanpa insiden tidak diingini.

Pada musim haji 1444 hijrah ini, sebanyak 50 peratus atau kira-kira 15,800 jemaah Malaysia melakukan Nafar Awal pada Jumaat manakala bakinya melakukan Nafar Thani pada Sabtu.

Jemaah haji berdoa selepas menyempurnakan ibadah.
Jemaah haji berdoa selepas menyempurnakan ibadah.

Nafar Awal ialah (melontar Jamarat pada dua dari tiga hari tasyrik) dan Nafar Thani ialah (melontar bagi ketiga-tiga hari tasyrik).

Pada tahun ini, peratusan melakukan Nafar Awal ditingkatkan kepada 50 peratus bagi mengurangkan kesesakan di khemah penginapan jemaah di Mina.

Selepas ini jemaah akan mula meninggalkan Makkah dengan penerbangan pertama akan berlepas 5 Julai manakala penerbangan terakhir ialah pada 31 Julai dari Madinah.

Apabila pulang kelak, jemaah membawa pulang pengalaman cukup berharga dan paling penting ialah kemabruran haji yang paling diimpikan setiap jemaah yang menunaikan Rukun Islam kelima itu.

Muhammad Fakhrur Ridzwan
Muhammad Fakhrur Ridzwan

Pengurus Ibadah dan Ziarah Tabung Haji (TH), Muhammad Fakhrur Ridzwan Othman berkata, definisi haji mabrur ialah ibadah yang tidak bercampur dengan perbuatan dosa.

Beliau berkata, bagi mendapatkan ganjaran haji mabrur, setiap jemaah haji hendaklah mengambil perhatian mengenai apa yang perlu dilakukan selepas menyempurnakan ibadah itu.

"Bagi mengekalkan kemabruran haji, setiap individu perlu menjauhi perbuatan buruk sama ada dari segi perbuatan yang boleh menyakiti orang lain, menghilangkan keharmonian masyarakat atau menjejaskan alam sekitar dan sebagainya.

"Mereka juga wajib memelihara lidah masing-masing seperti daripada mengeluarkan ucapan yang buruk, mengadu domba, sumpah palsu, memfitnah, menipu dan mengumpat," katanya.

Beliau berkata, haji yang mabrur turut menekankan aspek menghindari perkara yang bersalahan dengan prinsip agama.