Bashir dikenakan tahanan dua tahun

Al-Bashir ketika tampil di mahkamah di Khartoum berdepan tuduhan rasuah.
Al-Bashir ketika tampil di mahkamah di Khartoum berdepan tuduhan rasuah.
A
A
A

KHARTOUM - Sebuah mahkamah di Sudan hari ini mengarahkan bekas Presiden, Omar al-Bashir ditahan selama dua tahun kerana kes rasuah selepas digulingkan rampasan kuasa oleh tentera pada April lalu.

Pemimpin veteran berusia 75 tahun itu diarahkan menjalani hukuman tersebut di sebuah pusat pemulihan untuk warga emas.

"Di bawah undang-undang negara ini, mereka yang berumur lebuh 70 tahun tidak akan menjalani hukuman penjara," kata hakim.

Al-Bashir akan menjalani hukuman itu selepas keputusan satu lagi kes yang mana pemimpin itu didakwa mengarahkan pembunuhan penunjuk perasaan ketika protes ganas melanda Sudan.

Selain itu, mahkamah turut mengarahkan wang berjumlah 6.9 juta Euro (RM31.7 juta), AS$351,770 (RM1.4 juta) dan 5.7 juta Pound Sudan (RM529,216) yang ditemukan di kediamannya dirampas.

Menurut salah seorang peguamnya, beliau akan mengemukakan rayuan kepada mahkamah.

Ketika perbicaraan yang bermula pada Ogos lalu, beliau beberapa kali tampil dalam kurungan besi sambil memakai pakaian tradisional tempatan, jalabiya putih dan turban.

Beliau turut mengaku menerima wang tunai berjumlah AS$90 juta (RM372 juta) daripada pemimpin Arab Saudi yang mana 'sumbangan' itu didakwa sebagai sebahagian daripada hubungan strategik dengan Riyadh yang tidak digunakan untuk kepentingan peribadi. - AFP

Artikel Berkaitan: