Angkasa tingkat kefahaman ahli berkaitan CACP

Abdul Fattah bersalaman bersama Hamzah Ibrahim pada Seminar Pengurusan Anti Rasuah dan Standard dalam Koperasi 2019 yang diadakan di ibu negara hari ini.
Abdul Fattah bersalaman bersama Hamzah Ibrahim pada Seminar Pengurusan Anti Rasuah dan Standard dalam Koperasi 2019 yang diadakan di ibu negara hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) menyasarkan seramai 217,500 ahli lembaga koperasi didedahkan dengan Pelan Anti Rasuah Koperasi (CACP).

Presidennya, Datuk Abdul Fatah Abdullah berkata, pendedahan itu penting bagi mempertingkatkan kesedaran dan memupuk usaha pembudayaan anti rasuah dalam tadbir urus koperasi selain semangat bertanggungjawab memerangi rasuah, salah guna dan penyelewengan.

Menurutnya, Angkasa telah menjalin kerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak lima tahun lalu dalam usaha mempertingkatkan integriti di kalangan koperasi.

“Sebanyak 14,500 gerakan koperasi di bawah Angkasa dan kita sasarkan 217,500 ahli lembaga koperasi ini untuk didedahkan dengan pelan anti rasuah.

“Selepas itu, ia akan didedahkan pula kepada ahli-ahli koperasi,” katanya kepada media selepas melancarkan Seminar Pengurusan Anti Rasuah dan Standard dalam Koperasi 2019, di ibu negara.

Hadir sama Naib Presiden Angkasa, Dr Mohd Azlan Yahya, Datuk Che Mohd Shukree Che Isa, Profesor Madya Datuk Dr Abdul Rahman Abdul Razak Shaik dan Penguasa Kanan Bahagian Pendidikan SPRM, Hamzah Ibrahim.

Abdul Fatah berkata, pendedahan kepada ahli lembaga koperasi dilakukan supaya kepimpinan ini memahami dan seterusnya membanteras rasuah serta memastikan koperasi tidak terlibat dengan jenayah tersebut.

Katanya, pihaknya juga akan turut memberi pendedahan kepada koperasi sekolah mengenai pelan anti rasuah itu.

Artikel Berkaitan:

“Kita juga akan dedahkan kepada 20,000 ahli lembaga koperasi yang terdiri di kalangan pelajar sekolah menengah.

“Ini strategi yang akan dilakukan untuk meningkatkan kesedaran membanteras rasuah di kalangan kepimpinan koperasi,” katanya lagi.

Seminar dua hari itu yang berakhir pada Ahad disertai 108 peserta dari 54 buah koperasi seluruh negara.

Antara lain objektif seminar itu adalah untuk memberi panduan dan kefahaman dalam menggubal CACP baharu yang dijangka akan dilancarkan pada suku tahun pertama 2020 agar ianya selaras dengan keperluan dalam Pelan Anti-Rasuah Nasional (NACP).