Wakalah: Pengurusan deposit lebih efisien

Tabung Haji - Foto Bernama
Tabung Haji - Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Lembaga Tabung Haji (TH) Selasa lepas mengumumkan peralihan kontrak simpanan daripada Wadiah Yad Dhamanah kepada Wakalah namun timbul persoalan sejauh manakah ia mampu memberi kelebihan buat masyarakat terutama pendeposit berbanding kontrak sebelum ini.

Ditanya Bernama satu perkataan yang boleh menggambarkan kelebihan itu, Pengerusi Majlis Penasihat Syariah Lembaga Tabung Haji (TH), Profesor Dr Ashraf Md Hashim menjawab, perkataan 'efisien' amat cocok mencerminkan pengurusan deposit melalui Wakalah.

Menerangkan tahap efisiensi kontrak Wakalah dengan cara mudah difahami katanya secara asas melalui Wadiah Yad Dhamanah, deposit yang diberikan kepada TH adalah berbentuk hutang manakala melalui Wakalah deposit itu berbentuk modal.

"Daripada sudut pendeposit, secara umumnya tiada perbezaan antara Wakalah dan Wadiah Yad Dhamanah. Deposit mereka dijamin kerajaan dan layak dapat pulangan. Namun dalam Wadiah Yad Dhamanah oleh kerana deposit yang diterima adalah hutang maka pulangannya adalah atas budi bicara, jika (ditulis) dalam kontrak wajib ada pulangan, ia menjadi riba.

"Melalui Wakalah, pendeposit mewakilkan TH atas modal diberinya melakukan sesuatu. Jadi TH bertanggungjawab memberi pulangan jika ada, setelah ditolak kos pengurusan, kos haji dan zakat. Baki dia (TH) beri semua kepada pendeposit," katanya ketika dihubungi Bernama.

Ketua Pegawai Eksekutif ISRA Consultancy Sdn Bhd itu berkata, dari segi operasi Wakalah berbentuk modal itu akan menjadikan pengurusan TH lebih bertanggungjawab dan berdisiplin terhadap deposit diperoleh dan lebih telus dalam pengurusan deposit itu.

"Jumlah dividen bagaimanapun bukan bergantung terus kepada aqad (kontrak) sebaliknya ia bergantung kepada hasil pelaburan, perniagaan dan sebagainya. Tiada isu jumlah dividen naik atau turun kerana ia bergantung kepada pasaran dan kebijaksanaan pengurusan wang tersebut.

"Dari segi operasi (pengurusan) nampak lebih jelas. Kesan Wakalah kepada TH adalah ‘business as usual’ di samping memantapkan lagi hubungan TH dengan pendeposit," kata pemegang Doktor Falsafah (PhD) Undang-undang Islam dari University of Birmingham, United Kingdom itu.

Artikel Berkaitan:

Selain itu katanya, Wakalah juga memudahkan TH membuat promosi untuk pendeposit seperti pemberian hadiah, yang mana sebelum ini dengan konsep hutang, pemberian hadiah itu adalah suatu bentuk riba.

Ashraf yang juga Anggota Lembaga Pengarah TH berkata dengan Wakalah, TH berharap dapat menarik lebih ramai pendeposit dan lebih banyak jumlah deposit dengan pelbagai kelebihan ditawarkan TH.

"TH telah melalui fasa mencabar sebelum ini, mulai tahun ini diharap pulangan akan lebih menarik mengikut pasaran. Selain daripada pulangan dalam bentuk ini, deposit di Tabung Haji adalah agak unik di mana pendeposit juga mendapat ‘pulangan’ dalam bentuk yang lain.

"Ini adalah kerana dalam aqad Wakalah, pendeposit telah bersetuju untuk sebahagian (kecil) daripada pulangannya digunakan untuk menampung kos haji. Dalam konteks ini, pendeposit sebenarnya membantu orang pergi haji. Semoga mendapat ganjaran sewajarnya daripada Allah SWT. Pendeposit juga menikmati jaminan kerajaan, di mana deposit mereka tidak akan berkurangan. Ini perbezaan besar deposit TH dengan institusi kewangan lain," katanya.

Beliau berkata, pada masa ini TH tidak dapat menawarkan kontrak berbeza buat pendeposit yang mahu kekal dengan akad Wadiah Yad Dhamanah atas faktor operasi, kos, pengurusan dan kelebihan yang dapat diberikan melalui Wakalah.

Katanya, TH terkenal di seluruh dunia sebagai institusi pengurusan haji terbaik yang efisien dalam membantu umat Islam mengerjakan Rukun Islam kelima itu dan dengan pengenalan kontrak Wakalah diharap dapat terus memperkasa institusi pengurusan haji. - Bernama