Kes chikungunya di Perak menurun

Rondaan Siaraya yang dilakukan UTKMB sebagai inisiatif memberi kesedaran kepada orang ramai menjaga kebersihan bagi mengelak wabak chikungunya dan denggi terus merebak di kawasan tersebut.
Rondaan Siaraya yang dilakukan UTKMB sebagai inisiatif memberi kesedaran kepada orang ramai menjaga kebersihan bagi mengelak wabak chikungunya dan denggi terus merebak di kawasan tersebut.
A
A
A

BIDOR - Bilangan kes chikungunya di negeri ini mengalami penurunan pada minggu epid 50 sebanyak 31 kes berbanding minggu sebelumnya sebanyak 36 kes.

Exco Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia Perak, A Sivanesan berkata, penurunan tersebut didorong usaha berterusan pihak Jabatan Kesihatan Perak bersama-sama pihak berkuasa tempatan (PBT) serta agensi lain mengawal tempat pembiakan nyamuk disebabkan pembuangan sampah di kawasan yang tidak sepatutnya.

Menurutnya, satu mesyuarat telah diadakan pada Selasa lalu bersama Jabatan Kesihatan dan beberapa agensi lain untuk memastikan kes chikungunya di negeri ini terkawal.

"Kita tidak dapat nafikan kadar chikungunya paling tinggi adalah Batang Padang/Muallim. Kerja-kerja untuk mengurangkan kes chikungunya ini telah diambil oleh Jabatan Kesihatan dan kita telah bekalkan dua pegawai kesihatan sepenuh masa untuk mengawasi keadaan pembuangan sampah.

"Jadi dalam tempoh dua minggu ini kita dapat tahu kadar chikungunya dan saya jangka menurun," katanya kepada pemberita selepas ditemui pada Program Back 2 School 2020 Yayasan Perak Peringkat DUN Sungkai di Dewan Muhibbah Bidor, di sini semalam.

Sivanesan berkata, PBT juga telah mengeluarkan kompaun kepada individu dan premis yang membuang sampah di tempat yang tidak sepatutnya.

Menurutnya, sungguh pun tiada kematian dicatatkan bagi kes chikungunya berbanding kes denggi, perhatian serius perlu diberikan agar tiada kejadian tidak diingini berlaku.

Sebelum ini, Sivanesan menjelaskan penularan wabak chikungunya di Perak diklasifikasikan sebagai serius dengan 71 kes direkodkan di tiga daerah sejak 18 Oktober lalu.

Artikel Berkaitan:

[Artikel berkaitan: https://www.sinarharian.com.my/article/57065/EDISI/Perak/Chikungunya-di-Perak-serius]

Sementara itu, Pejabat Penghulu Mukim Bidor mengambil inisiatif bersama-sama Unit Tindakan Khas Mukim Bidor (UTKMB) melakukan rondaan siaraya bagi menjalankan kempen kebersihan.

Penghulu Mukim Bidor, Mat Kasa Arsad berkata, inisiatif tersebut diambil berikutan wabak denggi dan chikungunya yang dikesan di kawasan Bidor.

"Rondaan ini melibatkan seramai 15 ahli sukarelawan UTKMB dengan menggunakan tiga buah kenderaan pacuan empat roda dan dua kereta serta dua motosikal yang ditugaskan untuk mengedarkan risalah kesedaran bahaya denggi dan chikungunya.

"Kempen ini akan diteruskan bagi memberikan kesedaran kepada masyarakat di kawasan Bidor agar wabak denggi dan chikungunya dapat dikurangkan," katanya.