Kedah angkat martabat teater promosi TMM 2020

Teater muzikal kanak-kanak yang akan dipentaskan hari ini dan esok.
Teater muzikal kanak-kanak yang akan dipentaskan hari ini dan esok.
A
A
A

ALOR SETAR - Pementasan teater moden mahupun tradisional sememangnya berpotensi untuk dijadikan tarikan baharu sektor pelancongan sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2020.

Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kedah, Mohd Rizal Ismail berkata, teater Mek Mulung misalnya mempunyai keunikan tersendiri dan pernah dipentaskan di hadapan delegasi pelabur dari China dua bulan lalu.

Menurutnya, delegasi yang turut disertai Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir itu antara pendedahan awal mempromosi keunikan budaya dan seni negara ini kepada pelabur asing.

“Usaha promosi perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa. Industri teater perlukan sokongan pelbagai pihak sama ada kerajaan negeri mahupun swasta untuk mendekatkan teater dalam kalangan Gen Y (generasi Y) masa kini,” katanya.

Mohd Rizal berkata, pihaknya turut menyokong usaha membangunkan teater di negeri ini melalui penganjuran Festival Teater Kedah setiap dua tahun dengan kerjasama pelbagai pihak.

“JKKN Kedah sediakan auditorium berkapasiti 250 penonton dengan kemudahan sistem siar raya terbaik agar penggiat teater dapat berkarya secara berterusan. Kami akan pastikan kelestarian teater tempatan dapat dipertingkat ke tahap lebih tinggi,” katanya.

Menurutnya, antara karya unik bakal dipentaskan ialah teater semi muzikal kanak-kanak bertajuk ‘Kota Kucing’ dari Persatuan Teater Alor Setar (Pentas) pada hari ini dan esok.

“Pementasan teater ini diarahkan oleh pemenang Pengarah Terbaik Festival Teater Kedah 2019, Mohd Zulkamal Ismail atau dikenali Joe K.a.s yang aktif sebagai penggiat teater dan penulis skrip. Pementasan dijayakan kanak-kanak berusia antara 6-12 tahun,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, teater tersebut sesuai ditonton seisi keluarga kerana berkisar dunia kanak-kanak dan mempunyai pelbagai mesej positif untuk diteladani dengan menggabungkan unsur lucu dan pengajaran, selain elemen muzikal menjadikan teater tersebut menghiburkan.

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai perkembangan teater di negeri ini, Mohd Rizal berkata, pembelajaran teater wajar dipergiatkan di peringkat sekolah agar dapat dijadikan sebagai cabang aktiviti utama memandangkan teater disifatkan medium ‘memanusiakan’ manusia.

Jelasnya, JKKN Kedah sentiasa menyokong usaha mengangkat teater ke tahap lebih tinggi dengan berperanan sebagai badan penasihat kepada badan bukan kerajaan (NGO) teater, selain menyediakan prasarana seperti tempat latihan dan auditorium untuk berkarya.