Tunjuk perasaan besar-besaran berterusan di Perancis

Tunjuk perasaan di seluruh negara di Perancis berterusan dan memasuki hari kelapan semalam bagi membantah pelan pembaharuan skim pencen yang kontroversi.
Tunjuk perasaan di seluruh negara di Perancis berterusan dan memasuki hari kelapan semalam bagi membantah pelan pembaharuan skim pencen yang kontroversi.
A
A
A

PARIS - Mogok dan tunjuk perasaan di seluruh negara di Perancis berterusan dan memasuki hari kelapan semalam bagi membantah pelan pembaharuan skim pencen Presiden Emmanuel Macron yang kontroversi, lapor agensi berita Turki Anadolu.

Kelmarin, Perdana Menteri, Edouard Philippe berkata, rakyat Perancis perlu berkhidmat dua tahun lebih lama untuk mendapatkan pencen penuh yang mencetuskan reaksi menentang kesatuan sekerja yang berkata mereka akan meningkatkan tindakan mogok bagi memaksa keputusan itu diubah.

Ketegangan telah memuncak di Perancis selepas pertemuan pada Isnin antara Jean-Paul Delevoye, menteri merangkap pesuruhjaya tinggi yang bertanggungjawab bagi pembaharuan pencen dan pemimpin beberapa kesatuan sekerja gagal memecahkan kebuntuan.

Kesatuan sekerja di Perancis menyeru orang ramai agar turun ke jalanan dan meneruskan tunjuk perasaan secara besar-besaran.

Di Paris, penunjuk perasaan berkumpul di Nation Square manakala di bandar Nantes, para penunjuk perasaan berhimpun di sebuah pusat beli-belah.

Pada 5 Disember lalu, Perancis menyaksikan antara mogok terbesar dalam sejarah baru-baru ini dan para penunjuk perasaan telah meneruskan bantahan terharap pelan pencen Macron.

Kementerian Dalam Negeri berkata 806,000 orang mengambil bahagian dalam tunjuk perasaan itu manakala kesatuan sekerja memberikan jumlah hampir 1.5 juta.

Perancis ketika ini mempunyai 42 program pencen berbeza untuk sektor berlainan namun kerajaan telah mencadangkan untuk menggabungkan kesemua sistem itu ke dalam satu skim pencen.

Artikel Berkaitan:

Program semasa Perancis adalah berdasarkan prinsip perpaduan antara generasi yang menyaksikan populasi yang bekerja membiayai pesara pada tahun itu.

Bagaimanapun, susulan populasi menua, lebih sedikit orang membayar kepada sistem semasa.

Bagi mengatasi perkara ini, kerajaan memperkenal satu sistem berdasarkan mata yang akan memberi pampasan kepada pekerja dengan mata pencen bagi setiap hari mereka bekerja atau setiap euro yang mereka sumbangkan.

Pembaharuan itu akan menarik balik keistimewaan yang diberikan kepada penjawat awam dan secara beransur-ansur meningkatkan umur persaraan dari 62 kepada 64 tahun, satu langkah yang dijangka bakal menjejaskan banyak sektor. - Bernama