X

Kindly register in order to view this article
!

Nak cari buluh betong...

Khemah yang disyaki menjadi tempat tinggal enam lelaki di Hutan Simpan Bukit Tapah kelmarin.
A
A

IPOH - Jabatan Perhutanan Perak menahan enam lelaki yang didapati menceroboh hutan di Kompartmen 157, Hutan Simpan Bukit Tapah di sini kelmarin.

Jabatan Perhutanan Perak dalam satu kenyataan berkata, tangkapan itu dilakukan hasil risikan dan serbuan dijalankan oleh pasukan Unit Tindakan Khas (UTK) Daerah Tapah.

Menurut kenyataan itu, suspek mendakwa memasuki hutan itu sejak Isnin lalu bagi mencari buluh betong.

"Pemeriksaan menemui khemah disyaki digunakan suspek untuk bermalam namun tidak menemui sebarang hasil hutan, buluh sekitar kawasan khemah.

"Pasukan itu telah merampas satu gergaji rantai, parang, dua khemah dan satu kanvas disyaki digunakan oleh suspek," katanya.

Menurutnya, suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen permit memasuki Hutan Simpan Kekal dan lesen kecil bagi kerja-kerja mengeluarkan hasil hutan.

"Satu laporan polis dibuat dan kesemua suspek telah dilepaskan dengan bon jaminan polis.

"Suspek boleh didakwa di bawah Seksyen 47 Akta Perhutanan Negara 1984 iaitu kesalahan memasuki hutan tanpa permit dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda RM10,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya," katanya.

Katanya, suspek juga boleh didakwa di bawah Seksyen 32 akta sama iaitu kesalahan menduduki kawasan Hutan Simpanan Kekal tanpa permit penggunaan yang boleh dikenakan denda RM50,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

"Pihak jabatan mengalu-alukan sebarang maklumat awam berhubung kegiatan mengambil hasil hutan tanpa kebenaran dan juga aktiviti penerokaan Hutan Simpan Kekal (HSK) secara haram di Perak.

"Orang awam dinasihatkan untuk tidak mengadakan sebarang aktiviti pengambilan hasil hutan secara haram dari hutan simpan kekal ini kerana ia merupakan suatu kesalahan yang boleh didakwa di bawah akta berkenaan," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!