Perkeso Kelantan peruntuk RM1.2 juta babitkan 707 permohonan SIP

Nora (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan cek Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) dan cek faedah pengurusan mayat kepada Nasitah Jusoh, 58, (dua dari kanan) balu kepada Tengku Azis Tuan Yusoff di kediamannya di Taman Sri Aman 2 hari ini. -Foto Bernama
Nora (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan cek Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) dan cek faedah pengurusan mayat kepada Nasitah Jusoh, 58, (dua dari kanan) balu kepada Tengku Azis Tuan Yusoff di kediamannya di Taman Sri Aman 2 hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

PASIR PUTEH - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kelantan meluluskan peruntukan lebih RM1.2 juta membabitkan 707 permohonan di bawah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) sepanjang tahun lepas.

Pengarahnya, Nora Yaacob berkata, daripada jumlah itu, 332 pemohon telah berjaya memperoleh semula pekerjaan selepas diberhentikan hasil usaha SIP.

“Ini membuktikan mereka yang mencarum dalam Perkeso akan menikmati banyak faedah termasuk elaun Pengurusan Jenazah, Pencen Penakat dan Elaun Mencari Pekerjaan selepas diberhentikan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan dua replika cek bernilai RM11,480 kepada balu Tengku Azis Tuan Yusoff iaitu Nasitah Jusoh, 50, di Kampung Seri Aman di sini hari ini.

Daripada jumlah itu RM9,480 adalah untuk Elaun Mencari Pekerjaan dan RM2,000 bagi Pengurusan Jenazah tidak termasuk Pencen Penakat yang diluluskan sebanyak RM1,540.50 sebulan kepada Nasitah sehingga ke akhir hayat.

Nora berkata, Allahyarham Tengku Azis adalah bekas kakitangan CIMB Bank Berhad Cawangan Machang yang mengambil tawaran Skim Pemisahan Sukarela (VSS) kemudian membuat permohonan kehilangan pekerjaan di Pejabat Perkeso pada 7 November lepas.

Sementara itu Nasitah berkata, beliau terharu dan terkejut menerima faedah berkenaan terutama Elaun Mencari Pekerjaan yang diluluskan 10 hari selepas kematian suaminya pada 17 November lepas akibat sakit jantung.

Nasitah berkata, beliau akan menunaikan wasiat arwah suaminya yang mahukan wang pengurusan jenazah itu disedekahkan kepada anak-anak yatim.

“Saya menyangka wasiat itu hanya satu gurauan sahaja tetapi rupa-rupanya menjadi kenyataan,“ katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu beliau juga bercadang akan membawa tiga anak lelakinya untuk menunaikan umrah awal tahun hadapan bagi memenuhi cita-cita arwah suaminya sebelum ini. - Bernama