Songket hampir RM1 juta dilarikan warga asing

Siti Rabiatul Tajulnisa (tengah) menunjukkan contoh songket yang dicuri dan pemotong besi dipercayai ditinggalkan pencuri yang ditemui berhampiran stor kedainya semalam.
Siti Rabiatul Tajulnisa (tengah) menunjukkan contoh songket yang dicuri dan pemotong besi dipercayai ditinggalkan pencuri yang ditemui berhampiran stor kedainya semalam.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang peniaga songket di Pasar Besar Kedai Payang kerugian kira-kira RM1.5 juta selepas pelbagai jenis songket asli Terengganu hasil tenunan tangan dikebas pencuri yang memecah masuk stor simpanan stok di Bazar Warisan.

Antara barang yang hilang adalah lebih 500 helai songket asli berharga RM1,800 sehelai dengan nilaian keseluruhan hampir RM1 juta, ratusan kain pelekat bernilai RM72,000 dan pelbagai jenis barang cenderahati yang disimpan dalam stor berkenaan.

Kegiatan pencuri warga asing itu terbongkar setelah pemilik kedai songket berkenaan menahan suspek yang sedang membawa turun dua guni dipercayai mengandungi kain songket di Bazar Warisan pada jam 8.30 malam tadi.

Penyelia kedai songket, Siti Rabiatul Tajulnisa Muhd Tajuddin, 17, berkata, kejadian berlaku ketika abang, kakak ipar dan empat pekerja sedang membuka gerai menjual barang bayi terpakai di depan bazar tersebut sebelum menyedari kehadiran lelaki mencurigakan sedang memikul guni.

“Sebelum ini, kami memang sudah kehilangan barang tapi tidak tahu siapa yang curi. Bila tengok ada orang angkut turun guni dari kedai, abang syak ada kaitan dengan kes sebelum ini sebab kami ada stor simpanan barang di sana.

“Jadi abang terus tahan lelaki itu dan minta dia buka guni. Bila buka ada 55 helai songket. Abang bersama orang sekitar terus tahan lelaki itu dan hubungi polis namun empat rakannya sempat larikan diri,” katanya ketika ditemui di kedainya di Pasar Kedai Payang di sini hari ini.

Siti Rabiatul Tajulnisa berkata, kedainya di Bazar Warisan ditutup sejak enam bulan lalu selepas bangunan itu dibaik pulih bermula 28 Oktober tahun lepas dan mereka sekeluarga tidak memindahkan stok songket, kain pelekat dan cenderahati atas faktor tertentu.

"Sebelum ini kami tidak menyedari barang yang hilang kerana diambil dalam jumlah sedikit namun aktiviti itu mula dikesan sejak tiga minggu lalu dengan lebih 500 helai songket asli bermutu tinggi lesap.

Artikel Berkaitan:

“Songket asli nama Raja Muda hasil buatan tangan ini paling murah dijual dengan harga RM1,800 sehelai bergantung kepada jenis,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.

Beliau berkata, kumpulan berkenaan dipercayai melakukan aktiviti berkenaan sejak tiga minggu lalu sebelum seorang daripadanya berjaya ditahan selepas memecah masuk premis berkenaan.

"Usaha mengesan rakan sejenayah suspek giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah kedai," katanya.