X

Kindly register in order to view this article
!

Geng Anak Dahman tumpas

Mohd Ismail (kiri) melihat motosikal yang dirampas pada 4 Disember lalu.
A
A

JITRA - Sepasukan polis dari cawangan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu berjaya menumpaskan Geng Anak Dahman yang aktif dalam kegiatan mencuri motosikal di sekitar daerah ini.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, geng itu yang dianggotai dua beradik mengaburi mata orang ramai dengan menyamar sebagai pekerja sebuah syarikat pembersihan sebelum melarikan motosikal yang menjadi sasaran.

Menurutnya, kegiatan dua lelaki yang berusia 24 dan 26 tahun itu berjaya ditumpaskan selepas ditahan dalam Ops Lejang di sekitar kawasan Bukit Kayu Hitam 4 Disember.

"Mereka ditahan ketika menunggang sebuah motosikal di kawasan sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Padang Satu.

"Pemeriksaan lanjut di kawasan rumah terbabit turut menjumpai pelbagai komponen motosikal yang telah dileraikan, sebuah enjin motosikal dan rangka motosikal.

"Semakan juga mendapati enjin dan rangka motosikal berkenaan dilaporkan hilang oleh pemiliknya," katanya kepada media di IPD Kubang Pasu di sini hari ini.

Mohd Ismail berkata, selepas menahan suspek, pihak polis kemudiannya menyerbu sebuah premis barang lusuh di Changlun Isnin lalu.

"Premis ini merupakan lokasi di mana geng ini menjual enam buah motosikal yang dicuri sebelum dileraikan mereka sejak hujung Mei hingga awal Disember lalu.

"Pihak polis telah menahan pemilik premis yang berusia 50-an selepas dia mengaku membeli komponen motosikal daripada suspek," katanya.

Beliau berkata, keesokannya pihak polis merampas pula sebuah motosikal jenis Demak Evo yang dijumpai di kawasan kebun kelapa sawit Padang Satu, Bukit Kayu Hitam dan sebuah motosikal jenis Honda EX5 di sebuah rumah kosong di kampung Natoi, Jitra.

"Dengan tangkapan ini, pihak polis berjaya menyelesaikan sebanyak 11 kes curi motosikal yang dilaporkan berlaku dalam daerah ini.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri motosikal dan kedua-dua suspek kini ditahan reman sehingga Sabtu," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, seorang lelaki berusia 24 tahun yang menjadi dalang kegiatan kecurian tabung masjid dan dobi di sekitar daerah ini ditahan polis berdekatan Masjid Kampung Jeram di sini pada 5 Disember lalu.

Mohd Ismail berkata, lelaki itu ditahan bersama satu paket syabu seberat 0.33 gram dan satu paket dadah jenis heroin seberat 0.60 gram.

"Hasil soal siasat dia mengaku memecah masuk masjid dan mencuri duit tabung masjid di sekitar kawasan Jitra.

"Suspek yang positif dadah jenis morphine ditahan reman sehingga esok dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

"Penahanan suspek ini telah berjaya menyelesaikan sebanyak 13 kes pecah masjid dan dobi di sekitar daerah ini," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!