90 peratus sekolah daif sudah dibaik pulih, kata Maszlee

Maszlee
Maszlee
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan (KPM) berjaya menyiapkan 90 peratus daripada keseluruhan 534 projek baik pulih sekolah daif di seluruh negara pada tahun ini, kata Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

Beliau berkata, sebanyak 452 projek dicatatkan siap setakat hari ini dan dijangka terus meningkat menjelang penghujung tahun ini.

“Kita menyasarkan sifar sekolah daif agar semua guru, semua anak murid akan dapat akses kepada bukan sekadar pendidikan berkualiti tetapi infrastruktur sekolah yang menampung pembelajaran yang kondusif. Itu harapan kami.

“Kita meletakkan (sekolah) yang mana paling memerlukan kita selesaikan dan yang lain insya-ALLAH akan sampai waktunya secara berperingkat. Projek (membaiki) sekolah daif yang telah kita selesaikan bukan sahaja di Sabah dan Sarawak walaupun majoritinya di Sabah Sarawak, terdapat juga di Semenanjung diberikan tumpuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Bicara Naratif: Pendidikan Untuk Semua yang disiarkan secara langsung di TV1 malam tadi.

Beliau berkata, keutamaan diberikan kepada sekolah-sekolah daif yang diisytiharkan tidak selamat oleh Jabatan Kerja Raya dan menekankan aspek pemantauan di dalam kementerian bagi keberhasilan sesuatu pelaksanaan projek.

Sebelum ini, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan peruntukan sebanyak RM783 juta untuk baik pulih sekolah daif menerusi Belanjawan 2020 untuk menyelesaikan masalah sekolah daif di seluruh negara.

ARTIKEL BERKAITAN: Belanjawan 2020: Peruntukan untuk sekolah meningkat RM83 juta

Artikel Berkaitan:

Sementara itu Maszlee berkata, pendidikan untuk semua menjadi asas pegangan yang diperjuangkan kementeriannya bagi memastikan setiap pihak mendapat akses kepada pendidikan berkualiti.

“Kita tidak mahu sesetengah orang itu tercicir daripada pendidikan hanya kerana mereka daripada golongan miskin ataupun daripada golongan yang marginalised ataupun ketidakupayaan mereka. Sebab itu antara perkara yang kita cuba usahakan ialah akses pendidikan kepada murid berkeperluan khas ataupun OKU (orang kurang upaya).

"Kemudian kita ingin pastikan tidak ada lagi murid yang tercicir dan kita ingin pastikan juga bahawa sekolah itu terbuka untuk semua anak-anak termasuk mereka yang terhalang hanya kerana tidak mempunyai dokumen,” katanya.

Menurut Maszlee, pada tahun ini, KPM telah melancarkan inisiatif polisi penolakan sifar dengan memastikan anak-anak berkeperluan khas dapat bersekolah di sekolah kerajaan.

Beliau memberitahu, kementeriannya telah berjaya mewujudkan sebanyak 10,200 kelas pelajar berkeperluan khas (OKU) di seluruh negara pada tahun ini dan mencatatkan peningkatan sebanyak 526 kelas dengan pertambahan murid seramai 4,821 orang.

Secara keseluruhan pada masa ini, seramai 88,419 murid berkeperluan khas telah didaftarkan dan bersekolah di sekolah kerajaan.

Maszlee juga memaklumkan hasil pelancaran inisiatif sifar cicir yang melibatkan guru-guru dan pihak sekolah pada tahun ini, seramai 4,369 orang murid telah kembali bersekolah dan tidak lagi tercicir.

Selain akses mesra OKU di sekolah, Maszlee berkata, antara lain, polisi inklusif OKU turut dilancarkan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada September lepas sebagai inisiatif menjadikan kampus di universiti awam dan swasta lebih mesra OKU. - Bernama