X

Kindly register in order to view this article
!

Belanjawan 2020: Peruntukan untuk sekolah meningkat RM83 juta

Guan Eng membentangkan Belanjawan 2020 dalam Dewan Rakyat, hari ini. -Foto Sinar Harian ZAHID IZZANI
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan menambah peruntukan penyelenggaraan dan menaik taraf sekolah daripada RM652 juta seperti diumumkan dalam Belanjawan 2019 kepada RM735 juta pada 2020.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, pertambahan peruntukan itu bagi memastikan sekolah-sekolah sedia ada menyediakan persekitaran pembelajaran lebih kondusif untuk anak-anak.

“Pecahan peruntukan adalah seperti berikut, sekolah kebangsaan RM300 juta, sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) RM50 juta, sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) RM50 juta, sekolah berasrama penuh RM50 juta, Maktab Rendah Sains Mara RM50 juta.

“Selain itu, sekolah agama bantuan kerajaan menerima RM50 juta, sekolah mubaligh RM50 juta, sekolah tahfiz

RM50 juta, sekolah agama rakyat dan sekolah agama persendirian RM25 juta, sekolah pondok yang berdaftar RM25 juta, sekolah menengah jenis kebangsaan akan menerima RM20 juta dan sekolah menengah persendirian Cina (SMPC) RM15 juta,” katanya pada pembentangan Belanjawan 2020 bertemakan Memacu Pertumbuhan dan Keberhasilan Saksama Ke Arah Kemakmuran Bersama di Parlimen petang tadi.

Beliau berkata, kerajaan juga akan memberi tumpuan kepada membaik pulih sekolah daif dengan peruntukan sebanyak RM783 juta pada tahun depan, terutamanya di Sabah dan Sarawak.

“Tahun hadapan, kerajaan akan membina beberapa sekolah baharu di Langkawi, Kulai, Hulu Langat, Putrajaya, Pasir Gudang, Tumpat, Marang dan Johor Bahru.

“Bagi sekolah kebangsaan, peruntukan sebanyak RM23 juta akan disediakan untuk memastikan sekolah mempunyai kemudahan mesra orang kurang upaya (OKU).

“Ini selari dengan dasar penolakan sifar (zero reject) yang telah diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan di mana tiada kanak-kanak OKU dinafikan hak pendidikan disebabkan kelainan upaya mereka,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga akan meningkatkan jumlah bantuan bayaran utiliti tambahan yang juga merangkumi pembetungan sebanyak RM12 juta sekali gus memberi manfaat kepada 2,000 sekolah bantuan kerajaan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus