Ombak besar, hakisan pantai makin menjadi-jadi

Orang ramai melihat keadaan hakisan pantai yang berlaku ketika tinjauan di Pantai Pengkalan Maras. - Foto Bernama
Orang ramai melihat keadaan hakisan pantai yang berlaku ketika tinjauan di Pantai Pengkalan Maras. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA NERUS - Saban tahun apabila tiba sahaja musim tengkujuh penduduk di sekitar pantai Kuala Nerus akan dihantui rasa resah dan gelisah berikutan fenomena ombak besar yang menyebabkan kawasan pantai semakin terhakis sehingga memusnahkan kediaman dan premis perniagaan mereka.

Meskipun masalah ini telah berlaku lebih 10 tahun lalu namun beberapa peniaga dan penduduk yang tinggal berhampiran Pantai Pengkalan Maras berkata, kejadian hakisan tanah ekoran ombak besar semakin menjadi-jadi dalam tempoh tiga tahun ini.

Malah ada yang menyifatkan fenomena ombak besar dan hakisan pantai pada tahun ini adalah yang paling buruk yang pernah dilalui mereka.

Seorang penduduk Kampung Pengkalan Maras di sini, Zaleha Abdul Wahid, 56, berkata, dua bulan lepas hakisan pantai telah meruntuhkan sebuah dewan kecil yang dibina sejak tiga tahun lalu.

“Dahulu kawasan ini ada jalan raya lepas itu baru dewan. Dewan itu selalu orang kampung buat makan-makan seperti jamuan hari raya dan sebagainya. Namun kini dewan dan jalan raya tersebut tidak ada lagi sebab tanah pantai terhakis,” katanya ketika ditemui Bernama di Pantai Pengkalan Maras di sini.

Zaleha berkata, walaupun terdapat pengumuman peruntukan untuk projek kawalan hakisan pantai, namun ia hanya dijangka bermula pada tahun hadapan dan penduduk kampung berasa bimbang kerana pelbagai ‘kemungkinan’ boleh berlaku dalam masa terdekat ini.

“Kalau tengok perigi yang ada di pantai ini, bulan lepas hanya dua gelung simen yang kelihatan, kini kita boleh lihat lapan gelung simen pada perigi itu. Sudah 10 tahun perigi itu dibina untuk kegunaan nelayan, ini kali pertama boleh nampak bentuk asalnya.

“Jadi sementara hendak tunggu projek kawalan hakisan tersebut dimulakan, air boleh melimpah sehingga ke kawasan rumah. Musim tengkujuh pun dijangka berakhir bulan Mac tahun depan, macam-macam boleh jadi dalam tempoh tersebut,” katanya yang menginginkan penyelesaian segera bagi masalah itu.

Artikel Berkaitan:

Orang ramai melihat sebuah perigi yang kini tidak dapat digunakan berikutan hakisan pantai yang berlaku ketika tinjauan di Pantai Pengkalan Maras. - Foto Bernama
Orang ramai melihat sebuah perigi yang kini tidak dapat digunakan berikutan hakisan pantai yang berlaku ketika tinjauan di Pantai Pengkalan Maras. - Foto Bernama

Sebelum ini Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia memaklumkan kerajaan pusat telah meluluskan RM90 juta bagi kos projek kawalan hakisan pantai di Kuala Nerus yang tergolong dalam kawasan kritikal.

Projek yang dijangka bermula tahun hadapan itu meliputi kawasan Tok Jembal, Pantai Mengabang Telipot dan Pengkalan Maras.

ARTIKEL BERKAITAN: Perigi timbul dibadai ombak

Panik perigi timbul: Ini penjelasan pakar

Tinjauan Bernama mendapati beberapa kawasan di pantai Tok Jembal dan Pantai Mengabang Telipot telah dibina tembok batu untuk menghalang hakisan namun sebilangan besar kawasan Pantai Pengkalan Maras belum mempunyai sebarang tembok dan hakisan pantai masih berlaku.

Hakisan di Pantai Pengkalan Maras itu juga turut memusnahkan deretan pokok rhu yang sebelum ini menjadi tumpuan pengunjung untuk bergambar.

Seorang peniaga, Fatimah Abdullah, 63, berkata, hanya dalam tempoh dua tahun gerainya telah dua kali musnah akibat hakisan pantai.

Fatimah menunjukkan kesan hakisan pantai yang berlaku hingga ke gerainya ketika tinjauan di Pantai Pengkalan Maras. - Foto Bernama
Fatimah menunjukkan kesan hakisan pantai yang berlaku hingga ke gerainya ketika tinjauan di Pantai Pengkalan Maras. - Foto Bernama

“Mula-mula pada penghujung tahun 2017 makcik buka gerai di pesisir pantai ini namun tidak sampai setahun ia runtuh kerana hakisan dan air pantai melimpah hingga ke kawasan itu.

“Jadi pada Julai tahun 2018 makcik pun bina gerai yang baharu kira-kira 50 meter dari kawasan terhakis itu. Tetapi gerai tersebut pun terpaksa ditutup pada Oktober tahun ini akibat hakisan,” katanya.

Fatimah yang terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM10,000 akibat kedua-dua gerainya yang musnah itu kini sedang mencari jalan mengumpul modal untuk membina gerai baharu di kawasan yang lebih selamat.

Dia yang menjual menu makanan petang seperti keropok lekor, ikap celup tepung dan cendol itu juga merasa terkilan kerana tidak dapat mengambil kesempatan meraih keuntungan yang lebih sempena musim cuti persekolahan ini.

“Selalunya kalau cuti sekolah kehadiran pelanggan luar biasa ramainya dan pendapatan pun berlipat ganda sehingga boleh mencecah RM400 hingga RM500 sehari berbanding hanya RM900 hingga RM1,000 sebulan pada hari biasa.

“Sebab ramai pelancong dari luar Terengganu datang dan makan di gerai makcik. Tetapi nampaknya tiada rezeki tahun ini,” katanya dengan nada kecewa. - Bernama