Rasuah: Warga emas mengaku bersalah

Kok Yeow (belakang) dibawa keluar dari mahkamah selepas prosiding kes.
Kok Yeow (belakang) dibawa keluar dari mahkamah selepas prosiding kes.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang warga emas mengaku bersalah di mahkamah sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan memberi suapan RM500 kepada pembantu penguatkuasa Majlis Perbandaran Kluang (MPK), September lalu.

Chung (Chang) Kok Yeow, 68, membuat pengakuan berkenaan di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan, Kok Yew didakwa memberi suapan berupa wang tunai RM500 kepada seorang pembantu penguatkuasa MPK sebagai dorongan memberikan tempoh masa lebih panjang kepadanya untuk membersihkan sebuah pusat pengumpulan barang lusuh.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat Jabatan Penguatkuasaan dan Keselamatan MPK, Kluang, kira-kira jam 12.30 tengahari, 3 September lalu.

Kok Yeow dituduh mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.

Sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun berserta denda tidak kurang lima kali ganda jumlah nilai suapan atau RM10,000.

Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM10,000 ke atas Kok Yeow.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Mohamad Anis Redza Mohamad Anuar manakala tertuduh tidak diwakili mana-mana peguam.

Artikel Berkaitan: