Usah menghukum sebelum ada bukti

A
A
A

MASA saya belajar hukum hakam jenayah dalam Islam di universiti dahulu, satu kaedah dalam pensabitan hukuman ialah kaedah meletakkan beban pembuktian ke atas bahu pihak yang mendakwa.

Kaedah itu bersumberkan sebuah hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Andainya semua orang boleh diberikan hukuman semata-mata kerana adanya dakwaan pastilah semua orang akan membuat dakwaan terhadap harta dan darah orang lain tetapi sebaliknya setiap dakwaan hendaklah mendatangkan keterangan dan yang ingkar mestilah bersumpah.”

Saya tertarik kepada berita prestasi kewangan Lembaga Tabung Haji (TH) dalam media massa minggu lalu.

Berita itu mengingatkan saya kepada komen-komen nakal pihak tertentu yang memberikan persepsi negatif terhadap pihak pengurusan TH yang baru sehingga ada yang mengatakan bahawa aset-aset orang Islam telah dijual kepada pihak yang tidak sepatutnya.

Didakwa aset-aset TH berprestasi baik dijual bagi memberikan gambaran kepada orang ramai bahawa TH tidak akan bangkit lagi di bawah pengurusan baharu.

Ada yang percaya dengan dakwaan tersebut sehingga sanggup mengeluarkan kesemua wang simpanannya di TH. Tidak kurang rakan-rakan saya menimbulkan kebimbangan mereka.

Semua dakwaan itu dibuat tanpa bukti yang jelas. Sekadar tuduhan yang berpaksikan nafsu amarah dan akhlak mazmumah yang bermaharajalela dalam diri.

Tiada langsung rasa tanggungjawab terhadap apa yang ditulis dan diperkatakan.

Artikel Berkaitan:

Tiada langsung rasa ketakutan dan kebimbangan akan dihisab di akhirat andainya dakwaan itu tidak benar.

Malah, kepalsuan dakwaan-dakwaan lalu terbukti kini. Kebenaran pihak pengurusan TH terserlah. Mereka berjaya mengurus kewangan TH dengan bijaksana.

Dalam kenyataan akhbar bertarikh 28 November 2019, TH melaporkan prestasi dan kedudukan kewangan TH semakin baik bagi suku ketiga dan sembilan bulan pertama tahun 2019.

Dalam akhbar tersebut dinyatakan: “Bagi suku ketiga tahun 2019, TH berjaya memperoleh pendapatan sejumlah RM0.9 bilion menjadikan pendapatan bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun 2019 meningkat kepada RM2.1 bilion, dijana terutamanya daripada pelaburan aset pendapatan tetap (RM1.1 bilion), pelaburan hartanah (RM0.4 bilion), pelaburan ekuiti (RM0.3 bilion) dan pelaburan instrumen pasaran wang Islam (RM0.3 bilion). Keuntungan bersih meningkat kepada RM1.3 bilion dengan suku ketiga merekodkan keuntungan sebanyak RM500 juta hasil langkah berterusan penjimatan kos pengurusan dan pentadbiran.”

Saya sangat bersyukur dengan apa yang dilakukan pihak pengurusan baharu TH dalam memastikan lembaga itu terus berdaya maju dan memberikan yang terbaik kepada pendepositnya.

Dengan bukti oleh pihak TH itu, kita sewajarnya belajar daripada kesilapan lama. Sewajarnya kita memberi sokongan dan dorongan kepada pihak yang diberi amanah untuk memulihkan TH.

Perkara kedua yang terbayang dalam minda saya sebaik sahaja membaca berita tentang prestasi kewangan terkini TH itu adalah harapan membunga dalam diri para pendeposit terhadap hibah yang lebih tinggi bagi tahun 2019. Masih ingat jumlah hibah yang diisytihar bagi tahun 2018?

Ramai yang kecewa apabila hibah pada tahun 2018 agak sedikit dari tahun-tahun sebelumnya, bukan? Saya ingin katakan begini: “Jika mahukan hibah yang tinggi, maka buang dalam minda untuk dapat subsidi haji."

Saya mendapat maklumat bahawa jumlah tanggungan subsidi oleh pihak TH setiap tahun kini mencecah RM300 juta hingga RM400 juta. Banyak bukan? Subsidi itu hanya dimanfaatkan oleh 30,000 jemaah haji Malaysia setiap tahun berbanding 9.4 juta pendeposit TH. Wajarkah?

Kenapa saya sarankan kita lupakan subsidi haji? Ia kerana haji diwajibkan ke atas umat Islam yang cukup syarat dan salah satu daripadanya ialah ada kemampuan (istito’ah) dari segi kesihatan atau kewangan.

Kemampuan kewangan bermakna kita mampu menanggung kesemua kos pergi haji dan bukan sekadar mampu pergi dengan kos yang sudah diberi subsidi.

Merujuk kepada syarat istito’ah, saya berpandangan sudah tiba masanya pihak TH mengkaji semula pemberian subsidi kepada jemaah haji kerana memberi subsidi bukan menjadi tanggungjawab TH sebenarnya tetapi menjaga kebajikan para jemaah haji merupakan peranan dan tanggungjawab utama TH.

Akhir kalam, didiklah diri kita agar tidak membuat dakwaan sebelum ada bukti dan fakta yang jelas. Wallahu a’lam.

* Dr Shamsiah Mohamad ialah berpengalaman sebagai penyelidik isu-isu kewangan Islam dan Syariah