Remaja 17 tahun ditahan bersama penagih

No Image Caption
A
A
A

SETIU - Seorang remaja berusia 17 tahun ditahan bersama sembilan lelaki dalam serbuan di sarang penagih dadah di bawah jambatan Kampung Padang, Hulu Seladang, Bandar Permaisuri, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Zulkifli Mat Deris berkata, bagaimanapun remaja terbabit bernasib baik kerana keputusan saringan air kencing mendapati dia negatif dadah bersama tiga yang lain.

“Semua suspek berusia 17 hingga 43 tahun dibawa ke IPD Setiu untuk siasatan dan saringan awal air kencing mendapati hanya enam orang didapati positif dan terlibat dalam penyalahgunaan dadah termasuk seorang didapati memiliki 90 biji pil kuda dipercayai pengedar dadah,” katanya.

Zulkifli berkata, penagih sekitar kampung tersebut dikatakan menjadikan kawasan itu sebagai port mereka sejak awal bulan.

Menurutnya, jambatan itu terletak di jalan utama menghubungkan Bandar Permaisuri dengan Hulu Seladang.

“Enam direman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat menurut Seksyen 39A (1) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983,” katanya.

Artikel Berkaitan: