Lari tak cukup tanah!

Antara pendatang asing yang ditahan untuk siasatan lanjut.
Antara pendatang asing yang ditahan untuk siasatan lanjut.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Lari bertempiaran menyelamatkan diri! Itu yang dilakukan sekumpulan pekerja asing apabila menyedari dua tapak pembinaan di sini diserbu pihak berkuasa.

Bagaimanapun, tindakan itu hanya sia-sia apabila kawasan itu sudah dikepung dalam operasi membabitkan 71 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia Terengganu.

Ketua Bahagian Penguatkuasaan Imigresen Terengganu, Ahmad Salihin Salleh berkata, 500 pekerja asing diperiksa dalam operasi itu dan daripada jumlah itu, lebih 70 pekerja asing ditahan untuk siasatan lanjut kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan antaranya tiada dokumen, tiada permit dan tinggal lebih masa.

Pendatang asing yang ditahan untuk siasatan lanjut.
Pendatang asing yang ditahan untuk siasatan lanjut.

“Operasi ini bermula pada jam 9.30 pagi dengan serbuan di tapak pembinaan pertama, kita telah buat pemeriksaan terhadap lebih 200 pekerja, diikuti tapak pembinaan kedua dengan pemeriksaan terhadap lebih 300 pekerja.

“Setakat jam 12.30 tengah hari ini, lebih 70 orang yang ditahan untuk siasatan lanjut kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta lmigresen 1959/63.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada pelbagai negara, antaranya Myanmar, Bangladesh, Indonesia dan Pakistan. Kesemua mereka dibawa ke Unit Penguatkuasa Imigresen Terengganu untuk siasatan lanjut sebelum dihantar ke Depot Tahanan Imigresen Ajil, Kuala Berang,” katanya.

Sementara itu, jelas Ahmad Salihin, setakat ini pihaknya sudah menahan 2,405 pendatang asing yang melakukan pelbagai kesalahan, bermula Januari hingga 5 Disember lalu.

Artikel Berkaitan:

Katanya, Imigresen akan sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa seperti polis dalam menangani masalah pendatang asing tanpa izin di Terengganu.