E-Sport mampu ubah individu pendiam jadi luar biasa

Nazmi Nahar. - Foto ZAHID IZZANI
Nazmi Nahar. - Foto ZAHID IZZANI
A
A
A

SHAH ALAM - Dunia sukan elektronik atau e-Sport bukan hanya mampu menjana pendapatan yang lumayan tetapi juga mampu melahirkan individu luar biasa yang mungkin tidak menonjol dalam dunia realiti.

Pemain profesional e-Sport, Nazmi Nahar berkata, melalui e-Sport seseorang mampu 'membina' diri dengan potensi yang ada.

"Seorang introvert juga boleh menjadi orang yang luar biasa. Dalam dunia realiti dia mungkin seorang pendiam tapi dalam dunia permainan ini dia tidak begitu," katanya.

Beliau berkata demikian pada Wacana siri 143, bertajuk e-Sport: Dunia Baharu Tanpa Diskriminasi di Dewan Karangkraf, di sini hari ini.

Turut menjadi panelis. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan Perak, How Ard Lee Chuan How; Pengasas Kitamen Shah Alam, Riaz Shah dan Pensyarah Sains Sukan Universiti Selangor (Unisel), Nurul Hanim Mohd Amin.

Mengulas lanjut, Nazmi berkata dalam aspek menjana pendapatan, e-Sport tidak hanya terhad kepada 'hasil' pertandingan yang disertai tetapi mempunyai perspektif yang lebih besar.

Katanya, pemain E-Sport profesional berpotensi menjadi 'public figure' seterusnya membuka peluang untuk menjana pendapatan dengan tajaan yang diterima.

"Untuk menjadi seorang pemain profesional E-Sport tidak memerlukan banyak peringkat seperti sukan tradisional yang mempunyai peringkat-peringkat umur tertentu kerana E- Sport boleh disertai semua lapisan. Mungkin dengan hanya satu pertandingan membolehkan seseorang menjadi pemain profesional.

Artikel Berkaitan:

"Dengan menjadi pemain profesional, potensi menjadi public figure tu ada dan apabila menjadi public figure, anda hanya perlu cari cara untuk iklankan diri untuk menjana duit," katanya.

Berkongsi pengalaman sebagai pemain profesional, Nazmi berkata jumlah pendapatan pemain E-Sport adalah subjektif bagaimanapun mendedahkan dia pernah memenangi pertandingan yang membawa hasil sebanyak RM49,000.

"Untuk Facebook gaming misalnya, paling rendah mereka akan bayar adalah 1500 USD. Ini belum termasuk sumber lain daripada peminat, dan penaja yang boleh dijana sehingga 5000USD," katanya.