X

Kindly register in order to view this article
!

Pendaki bukan sekadar jadi pelancong gunung

Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A

KAJIAN Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) pada 2015 menunjukkan bahawa Malaysia telah menjadi sebuah negara obes. Seorang dalam dua orang dewasa di negara ini mempunyai berat badan berlebihan.

Kementerian Kesihatan telah mengesahkan kajian itu menjadikan Malaysia salah sebuah negara paling gemuk di Asia. Ia menggesa masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat.

Kini nampaknya kesedaran tentang amalan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat Malaysia mencapai tahap yang memberangsangkan.

Lihat saja pelbagai aktiviti sukan yang semakin rancak disertai seperti acara larian dan juga aktiviti mendaki.

Aktiviti mendaki, contohnya, kini sudah menjadi satu trend yang melangkaui segenap lapisan masyarakat tanpa mengira faktor umur.

Boleh dikatakan setiap kali hujung minggu, bukit-bukit sekitar Lembah Klang tidak sunyi dan ibarat ‘pusat beli- belah’ dek kesesakan warga kota yang mendambakan kehijauan setelah bosan dengan persekitaran hutan konkrit.

Bukit Broga di Semenyih antara lokasi tumpuan sehingga ada keluarga yang memilihnya sebagai lokasi riadah bersama anak-anak yang masih kecil.

Selain lokasi itu, terdapat juga lokasi lain seperti Bukit Besi di Cheras, Denai Tiga Puteri di Damansara, Bukit Gasing di Petaling Jaya, Bukit Saga di Ampang dan Bukit Batu Putih di Port Dickson.

Itu adalah antara tempat pendakian yang sering dikategorikan ‘selamat’ untuk membawa kanak-kanak melakukan aktiviti pendakian.

Namun tidak dinafikan ada yang mempertikaikan tindakan yang dianggap sengaja mengambil risiko, ada juga yang melihat ia sebagai langkah awal mendedahkan golongan kanak-kanak untuk lebih mencintai alam.

Faktor keselamatan tentunya menjadi perkara pokok dalam perdebatan tentang aktiviti pendakian dalam laluan hutan dan juga kawasan berlereng atau tinggi apatah lagi ketika musim hujan pada hujung tahun.

Itu mengenai lokasi-lokasi yang treknya santai. Bagaimana pula dengan ratusan lokasi lain di seluruh negara yang mempunyai tahap kesukarannya tersendiri.

Pemandu arah

Seperti pakej-pakej pelancongan yang dibuka secara umum, aktiviti mendaki juga tidak terkecuali apabila kini sesiapa sahaja boleh menyertainya setelah membayar sejumlah kos yang digelar ‘hantaran’ bagi sesetengah pendaki.

Lengkap dengan pemandu arah, makan dan minum serta penginapan (khemah dalam hutan) dan pengangkutan (ada juga guna kaedah kongsi kereta), mereka yang berminat hanya perlu membuat bayaran dan boleh merasai pengalaman mendaki dan menerokai hutan.

Banyak lokasi gunung yang sering diiklankan. Ada yang dua hari satu malam, ada yang tiga hari satu malam bagi pengisian hujung minggu.

Di media sosial pula, gambar-gambar puncak bukit dan gunung yang dikongsi bagaikan menjadi ‘umpan’ membuatkan ramai berhajat untuk melihat sendiri panorama keindahan alam ciptaan-Nya.

Tidak kurang juga yang menjadikan aktiviti mendaki sebagai ‘platform’ untuk kurus setelah banyak testimoni gambar sebelum dan selepas yang dikongsi oleh mereka yang sudah berjaya mengurangkan berat badan dengan mendaki.

Namun hajat semata-mata tidak mencukupi sekiranya tidak melakukan persediaan yang mencukupi kerana aktiviti mendaki mempunyai cabarannya tersendiri tidak sekadar fizikal tetapi paling utama adalah mental.

Kita biasa dengar pelbagai insiden melibatkan operasi menyelamat dilakukan anggota bomba dan penyelamat (bomba) membabitkan pendaki sesat, pendaki cedera dan juga pendaki keletihan.

Ada juga kes melibatkan kematian sama ada berpunca daripada terjatuh dan ada juga kes kematian mengejut.

Komitmen dalam memastikan setiap langkah pendaki selamat tidak boleh sama sekali dipandang enteng.

Kebimbangan sama pernah disuarakan Naib Pengerusi Kanan, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye dalam laporan media pada Ogos lalu yang mahu semua pihak memainkan peranan bagi memastikan aktiviti di dalam hutan selamat dan mengelakkan risiko kematian.

Beliau berkata, peningkatan kes hilang di dalam hutan sejak beberapa tahun kebelakangan ini menunjukkan masih ramai mengambil bahagian dalam aktiviti sedemikian, namun tidak membuat persediaan rapi dan membawa barangan keperluan sewajarnya.

Buat persediaan lengkap dan percaya dengan keupayaan diri. Biarlah kita naik (mendaki) sendiri dan kita turun pun sendiri.

Perlu ingat, menjadi pendaki bukan sekadar sebagai pelancong gunung.

*Nurhidayah Hairom ialah Wartawan Sinar Harian Edisi Nasional