Kembalikan Malaysia kepada acuan asal

A
A
A

PADA pembentangan ucapan dasar Ketua Pemuda UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini di Dewan Merdeka, adalah penting untuk perwakilan khususnya dan rakyat Malaysia amnya, menekankan akan kepentingan untuk Malaysia kembali ke acuan asalnya.

Malaysia Baharu versi Pakatan Harapan yang berpijak kepada falsafah kesamarataan hakikatnya amat berbahaya lantaran menjanjikan sesuatu yang nampak menawan tetapi hakikatnya 'pepat di luar rencong di dalam'.

Pesanan orang tua lama-lama yang menasihati kita agar 'jangan ditentang matahari condong, takut tak terturut, jalan tak berintis'. Jangan mudah terperdaya dengan harapan palsu sehingga tergamak kita melepaskan apa yang dinikmati di tangan selama ini. Pujangga India juga ada menyebut hal yang sama:

'Nallade yeninum kurei, solli tuuki yeriyaadea, kurei tirke mudiyum' (Jangan dibuang sesuatu yang baik hanya kerana sedikit kelemahan, sedangkan kekurangan itu boleh sahaja diisi dan ditampung).

Selama 61 tahun Malaysia bukanlah sebuah negara sempurna! Banyak kelemahan, wujud ketirisan, berlaku kepincangan di sana sini.

'Mana ada buluh yang tidak berbuku, mana ada bumi yang tidak pernah ditimpa hujan!' Namun selama 61 tahun sebelum ini juga, banyak kejayaan yang ditempa negara.

Dunia Islam melihat Malaysia sebagai negara Islam contoh, model negara yang pesat membangun tetapi tidak pernah mengenyampingkan Islam sebagai agama negara berorientasikan wasatiyyah.

Negara-negara membangun sentiasa menjadikan Malaysia sebagai penanda aras, lantaran dilihat selaku pemain ekonomi paling kompetitif dalam kalangan negara membangun di Asia, malah dunia pernah menobatkan Malaysia sebagai Harimau Asia (Asian Tiger) kerana pencapaian luar biasanya dalam pertumbuhan ekonomi.

Artikel Berkaitan:

Resipi utama kejayaan-kejayaan ini adalah kerana kestabilan politik. Harus ingat kestabilan politik negara hanya mampu dicapai berasaskan konsep perkongsian kuasa kaum-kaum utama dalam wadah yang berakarkan keindukan Melayu-Islam-Bumiputera.

Keindukan ini jugalah yang membawa Persekutuan Tanah Melayu dan Malaysia mengharungi pelbagai cabaran dan rintangan. UMNO, MCA dan MIC membentuk Perikatan pimpinan Tunku Abdul Rahman mengorak langkah demi langkah, mengenepikan perselisihan, dan perbezaan demi untuk mencapai sebuah kemerdekaan.

Keindukan ini dicitrakan sekali lagi oleh Tun Abdul Razak yang menggagaskan gabungan Barisan Nasional yang turut dianggotai Pas dengan Dasar Ekonomi Baharu secara afirmatif yang diikat dengan Rukun Negara.

Semuanya adalah kerana keprihatinan UMNO untuk membina dan membangunkan Malaysia untuk semua tanpa mencairkan nilai dan jati keindukan Melayu-Islam-Bumiputeranya.

Kejayaan hubungan politik antara kaum dalam konteks Perikatan ataupun Barisan Nasional adalah kerana kesediaan UMNO menerima kaum-kaum lain sebagai warganegara yang sama tarafnya dengan orang-orang Melayu.

Kaum-kaum lain pula bersedia memperakui keindukan Melayu-Islam-Bumiputera berasaskan Perlembagaan Persekutuan dan menerimanya sebagai pemimpin kepada sebuah gabungan politik.

Tiada lagi istilah pendatang, kerana Malaysia ini sudah diperakui milik semua. Malaysia milik orang Melayu, Malaysia juga milik orang Cina, India, Kadazan, Dusun, Murut, Dayak, Iban, Bidayuh malah ratusan etnik Sabah dan Sarawak.

Semuanya ada tanggungjawab, semuanya ada hak, sebagaimana yang dimaktubkan dalam Perlembagaan.

Konsep keindukan ini tidak menjadikan UMNO sebagai tuan kepada parti lain. Tetapi keindukan ini meletakkan UMNO sebagai pemimpin yang menentukan identiti sebenar kepada wajah Malaysia yang asal.

Secara mudahnya, Malaysia boleh terus berjaya, kekal stabil, kekal harmoni bukan seperti yang dimomokkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang kononnya semua nak disamaratakan.

Sebaliknya, kestabilan politik negara dicapai melalui kebijaksanaan kepimpinan mengurus-tadbir rakyat berbilang kaum yang saling menghormati sifat keindukan Melayu-Islam-Bumiputera. Inilah sebenarnya resipi kejayaan Malaysia yang asal.

Oleh yang demikian, Pemuda UMNO dengan menegaskan bahawa Malaysia perlu kembali kepada acuan dan modelnya yang asal.

Namun kembali kepada acuan yang asal tidak bermakna kita tunduk kepada kebejatan rasuah, penyelewengan, ketirisan. Tetapi, harus menjulang nilai integriti, akauntabiliti, amanah, kesederhanaan dan prinsip tadbir urus yang baik.

Tuntas, sebagai warga pemilik tanah pusaka ini, adalah tanggungjawab kita bersama untuk memperbaiki dan menambah baik Malaysia kerana tiada yang sempurna kecuali kitalah yang bertanggungjawab menyempurnakannya.

*Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ialah Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia