Enam ditembak mati di hospital Czech

Polis berkawal di luar sebuah hospital universiti di Ostrava selepas lelaki bersenjata menembak mati enam individu. - Foto: Agensi
Polis berkawal di luar sebuah hospital universiti di Ostrava selepas lelaki bersenjata menembak mati enam individu. - Foto: Agensi
A
A
A

PRAGUE - Seorang lelaki bersenjata menembak mati enam individu di bilik menunggu di sebuah hospital universiti di bandar Ostrava, Czech hari ini.

Tiga jam selepas serangan itu berlaku, penyerang bertindak menembak diri sendiri di bahagian kepala di dalam sebuah kereta.

"Polis menjumpai kereta tersebut. Kami sedang mengenal pasti identiti lelaki berkenaan sebelum polis mengambil sebarang tindakan," menurut pihak berkuasa republik itu menerusi Twitter.

Menurut polis, pihaknya menerima panggilan mengenai insiden tembakan itu pada jam 7.19 pagi (waktu tempatan) di Hospital Universiti di Ostrava, terletak kira-kira 350km di timur Prague dan berhampiran sempadan Poland.

Pengarah hospital, Jiri Havrlant memberitahu, lima orang terbunuh dalam serangan terbabit manakala seorang lagi meninggal dunia ketika pembedahan.

Dua lagi dilaporkan parah namun tiada anggota perubatan cedera.

Difahamkan, serangan berlaku di ruang menunggu klinik pesakit luar dan kesemua mangsa ditembak dari jarak dekat. - Agensi

Artikel Berkaitan: