Gangguan ah long hantui dua keluarga

Guo Nan (tengah) bersama Chai Ling (dua dari kanan) menunjukkan laporan polis dan video klip rumah terbakar sebagai amaran yang diterima daripada ah long.
Guo Nan (tengah) bersama Chai Ling (dua dari kanan) menunjukkan laporan polis dan video klip rumah terbakar sebagai amaran yang diterima daripada ah long.
A
A
A

IPOH - Dua keluarga hidup dalam ketakutan apabila sekumpulan ah long mengugut untuk membakar kediaman mereka di Kampung Bercham, Bercham di sini.

Pe Chai Ling, 35, berkata, gangguan itu bermula 15 November lalu selepas adik lelakinya berusia 31 tahun membuat pinjaman tanpa pengetahuannya.

Menurutnya, dia mengakui tidak mengetahui jumlah sebenar yang dipinjam dan keadaan bertambah buruk apabila Pe Ah Peng telah melarikan diri sejak Oktober lalu serta gagal dihubungi.

"Kami mula menerima panggilan daripada lelaki yang tidak dikenali meminta bayaran sebanyak RM100,000. Kami juga menerima video klip rumah disimbah cat dan dibakar sebagai amaran.

"Kami tidak mengendahkannya hingga nombor telefon milik setiap ahli keluarga diganggu termasuk anak perempuan Ah Peng yang berusia 14 tahun," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Chai Ling berkata, ah long telah menyimbah cat merah ke rumah bapa saudaranya dan meninggalkan satu nota meminta bayaran itu Ahad lalu.

"Ah long telah tersalah simbah apabila nombor rumah pakcik dan rumah saya adalah sama tambahan rumah kami hanya bersebelahan.

"Kami bimbang apabila kejadian ini sama seperti video yang dihantar mereka dan mungkin mereka mahu bakar rumah kami pula," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengerusi Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA Perak, Low Guo Nan berkata, laporan polis telah dibuat membabitkan kedua-dua kejadian tersebut.

"Pegawai penyiasat menyarankan peminjam iaitu adik mangsa tampil membuat laporan untuk tindakan selanjutnya demi keselamatan ahli keluarga.

"Kami mengharapkan agar pihak polis dapat menjalankan siasatan berdasarkan bukti-bukti yang diberi berikutan bimbang mangsa-mangsa ini akan diapa-apakan, termasuk membakar rumah" katanya.

Katanya, orang ramai diminta menyalurkan maklumat sekiranya terlihat kejadian simbah cat itu atau menghubungi polis sekiranya melihat lelaki dalam keadaan mencurigakan di kawasan itu.