Banjir: Tiga daerah di Sabah terjejas

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KOTA KINABALU - Satu lagi daerah di Sabah dilanda banjir menjadikan keseluruhan tiga daerah di negeri ini terjejas iaitu Sipitang, Beaufort dan Membakut melibatkan 22 kampung dengan 76 penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Menurut Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Sabah, setakat 12 tengah hari ini, sebanyak dua PPS dibuka iaitu di Dewan Serbaguna, Sipitang yang menempatkan sebuah keluarga terdiri enam orang dan Dewan Selagon, Beaufort menempatkan 70 orang daripada 27 keluarga.

"Mangsa banjir ditempatkan di Dewan Selagon yang dibuka pada jam 2.50 pagi tadi meningkat kepada 48 orang daripada 20 keluarga berbanding 22 orang daripada tujuh keluarga pagi tadi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Di Membakut, tiga lagi kampung dinaiki air menjadikan 16 kampung keseluruhannya terjejas banjir berikutan hujan berterusan semalam sehingga menyebabkan paras air sungai di kawasan itu meningkat melepasi paras bahaya.

Antaranya, Kampung Lumantak, Kampung Baitam, Kampung Sinoko, Kampung Bambangan, Kampung Baitam Laut, Kampung Baitam Baru, Kampung Baitam Ulu, Kampung Jambatan Baru, Kampung Baru, Kampung Kayai, Kampung Poring, Kampung Pusak, Kampung Takapan, Kampung Mendangin dan Kampung Lampijas.

Turut dinaiki air adalah Sekolah Kebangsaan Pekan Membakut, Klinik Kesihatan Kampung Sinoko dan Pekan Lama Membakut.

Di Beaufort, empat kampung terjejas banjir iaitu Kampung Bakalau, Kampung Bakalau Simpang Empat, Kampung Binunuk dan Kampung Balibata, manakala di Sipitang adalah Kampung Sungai Tiga dan Kampung Mesapol Lama.

Beberapa jalan perhubungan di kampung terbabit turut dinaiki air dan tidak boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan. - Bernama

Artikel Berkaitan: