Curi lembu guna ubat pelali

No Image Caption
A
A
A

HULU BESUT - Kejadian kecurian lembu yang didakwa kerap berlaku di kawasan ini sejak kebelakangan ini meresahkan ramai penternak.

Penternak, Rusman Awang, 56, dari Kampung Padang Buluh, di sini, melahirkan rasa bimbang kerana pencuri sentiasa mencari peluang mencuri lembu penduduk yang dilepas bebas dalam ladang kelapa sawit malah dalam kandang.

Menurutnya, dia sendiri kerugian kira-kira RM2,500 apabila lembunya mati ditembak bius menggunakan ubat pelali, dipercayai melebihi dos oleh pencuri lembu bulan lepas.

“Pencuri tidak sempat melarikan lembu yang mati itu kerana terserempak dengan penduduk yang ingin pergi menoreh getah kira-kira jam 6 pagi,” katanya.

Rusman berkata, lembu tersebut ditambat dalam kandang berhampiran rumahnya namun dipercayai pencuri bertindak menarik keluar lembu tersebut pada awal pagi ke lokasi yang agak jauh dari rumahnya sebelum disuntik pelali.

Menurutnya, dia menemui dua picagari yang lengkap dengan jarum yang disyaki dijadikan damak yang digunakan oleh penjenayah untuk memudahkan mereka memasukkan lembu yang dicuri ke dalam kenderaan.

“Sebelum itu pun ada lembunya nyaris dicuri malah ada penduduk kampung turut kehilangan lembu,” katanya.

Rusman berkata, kejadian kecurian lembu di kawasan Sungai Kerian dan Padang Buluh sudah tidak kedengaran berlaku sepanjang tempoh dua tahun lalu sebelum berlaku kembali sejak kebelakangan ini.

Artikel Berkaitan:

Sementara menurut seorang lagi penternak, Mohd Zikri Omar, 57, dia turut kehilangan lembu dan tidak dapat dikesan hingga sekarang.

Kata Mohd Zikri, dia juga menemui beberapa picagari untuk membius lembu yang menjadi sasaran untuk dicuri.

“Kami terpaksa berjaga sehingga awal pagi kerana pencuri biasanya akan melakukan kegiatan mereka pada waktu tengah malam atau awal pagi,” katanya.

Menurutnya, penduduk turut berharap pasukan keselamatan khususnya polis dapat melakukan rondaan pada lewat malam atau awal pagi di jalan Padang Tapong ke Lata Tembakah untuk mengurangkan kes kecurian lembu.