Profesor dilindungi tempurung IPT

A
A
A

KEMPEN membaca yang diusahakan bersungguh-sungguh oleh Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik kena pada jantung budaya ilmu kita, bahkan kena juga pada budaya profesor dan Dr kita. Mengapa?

Saya tidak kata semua profesor hidup di bawah tempurung tetapi saya kritik institusi bukan kritik individu. Apa masalah institusi? Universiti bukan sekadar jambatan kepada dunia ilmu, ia juga tempurung untuk melindungi status sosial pensyarah.

Status Dr dan profesor diberi oleh universiti sendiri tetapi pada masa yang sama universiti perlu memberi gambaran kepada masyarakat bahawa ia mempunyai ramai profesor!

Adalah sangat mahal untuk mengambil pensyarah luar negara seperti dari Universiti Oxford untuk mengajar di Malaysia tetapi pada masa yang sama, bayangkan kalau kita letakkan syarat untuk menjadi profesor sama taraf dengan kualiti seorang profesor di Universiti Oxford, apa akan jadi?

Sudahlah terlalu mahal untuk dapatkan profesor daripada universiti terkemuka dunia. Syarat menjadi profesor pula dinaikkan ke taraf kualiti Universiti Oxford! Sejauh manakah universiti lokal kita benar-benar mempunyai ramai profesor?

Dr Maszlee pernah menyindir bahawa universiti lokal patut berusaha menjadi seperti Universiti Oxford. Sindiran itu sebenarnya mentazkirahkan pensyarah supaya mereka tidak menjadikan universiti sebagai tempurung melindungi status sosial mereka.

Saya kenal seorang profesor dalam pengajian Islam. Beliau menulis buku tentang masalah pendidikan tetapi gagal menunjukkan kefasihan membaca kitab-kitab Arab klasik. Kita lihat buku-buku rujukannya kesemua adalah bahasa Inggeris dan Melayu.

Bayangkan kalau seseorang kata dia pakar Shakespeare tetapi tidak fasih Inggeris, pakar al-Quran tetapi tidak fasih Arab, pakar kesusasteraan Melayu tapi tidak fasih Bahasa Melayu.

Artikel Berkaitan:

Itu bukan salah profesor berkenaan. Isunya mengapa pihak universiti menghalalkan status profesornya? Untuk memenuhi kuota Profesor? Universiti dijadikan tempurung melindungi profesor atau lebih tepat pekerja ilmu ini.

Status sosial profesor dan Dr adalah kekal dan tidak terusik kerana dilindungi oleh universiti. Mereka boleh duduk dalam tempurung petunjuk prestasi utama (KPI) universiti dan tidak dicabar oleh pelajar yang konon menghormati guru.

Seorang Dr Sains Politik menghina Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). Beliau mengeluarkan kenyataan yang langsung tidak akademik tetapi sampai sekarang berstatus Dr.

Tempurung itu perlu digugat. Bagaimana? Dr Maszlee telah memberi persatuan pelajar kuasa autonomi yang luas yang tidak diberi kerajaan dulu.

Pihak universiti tidak akan menggugat keselesaan para profesor dan Dr yang mentadbirnya!

Kepimpinan universiti sendiri bergantung pada tempurung universiti untuk kekalkan status sosialnya, bagaimana mungkin mereka melawan tangan sistem yang suap mereka makan?

Tetapi persatuan pelajar adalah klien universiti. Suara mahasiswa sebenarnya lebih kuat daripada suara profesor terulung dan suara Naib Canselor! Usaha Dr Maszlee memperkasakan persatuan mahasiswa kena tepat!

Mahasiswa sekarang perlu guna peluang keemasan ini untuk check and balance kualiti profesor dan Dr supaya tidak dilindungi tempurung universiti.

Usahakan dialog kritis secara terbuka. Universiti bangga bila pelajarnya menang debat antarabangsa tetapi bagaimana pula para profesor? Adakah mereka berani berdebat secara terbuka?

Ada beberapa pensyarah yang bersuara menentang Statut Rom telah dicabar untuk berdebat secara terbuka tetapi mereka tidak menyahut cabaran debat. Mereka pilih diam dan berselindung di bawah tempurung universiti.

Pihak universiti pula tidak mewajibkan mereka untuk bela diri secara terbuka kerana itu bukan KPI universiti!

Sangat memalukan tetapi hakikatnya ialah status sosial profesor dan Dr mereka kekal selamanya. KPI berjaya melindungi profesor dan Dr bawah tempurung itu!

Masalah itu sangat serius. Dr Maszlee wajib diteruskan sebagai Menteri Pendidikan. Beliau nampak kerosakan parah itu dan tidak mungkin dapat dirawat dalam masa singkat. Beliau banyak di salahfahami sebab berani lawan sistem dan budaya.

Rakyat, hatta profesor dan Dr belum bersedia untuk berfikir di luar tempurung.

Universiti dijadikan tempurung melindungi profesor atau lebih tepat pekerja ilmu ini.

* Xifu Naser ialah Pensyarah Pemikiran Kreatif Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)