Pekebun kecil dapat Bantuan Musim Tengkujuh RM600

Mohamed Azmin Ali -Foto Bernama
Mohamed Azmin Ali -Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Pekebun kecil di seluruh negara bakal menerima Bantuan Musim Tengkujuh sebanyak RM600 seorang yang disalurkan terus ke akaun masing-masing pada Disember dan Januari depan.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM164 juta kepada 274,639 pekebun kecil getah iaitu 255,997 pemilik pengusaha dan 18,642 penoreh bukan pemilik.

Menurutnya, kerajaan sentiasa prihatin terhadap kebajikan warga tani dalam mengharungi cabaran pada musim tengkujuh.

"Bantuan RM300 pada Disember 2019 dan RM300 lagi pada Januari 2020 oleh Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) di bawah seliaan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

"Sehubungan itu pekebun kecil dan penoreh getah yang berdaftar dengan Risda dan mengusahakan kebun getah tidak lebih 2.5 hektar digalakkan untuk segera membuat permohonan.

"Kemas kini maklumat boleh dibuat sebelum 15 Disember 2019 di Pejabat Risda di seluruh negara," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Azmin berkata, Bantuan Musim Tengkujuh itu akan diteruskan melalui Belanjawan Tahun 2020 dengan peruntukan berjumlah RM200 juta pada tahun hadapan.

Menurutnya, peruntukan akan disalurkan kepada pekebun kecil Risda dan pekebun kecil di bawah Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS).

Artikel Berkaitan:

"Peningkatan peruntukan Bantuan Musim Tengkujuh dari tahun lepas pastinya mengurangkan beban pekebun kecil dalam mengimbangi kos sara hidup harian ketika berlaku penurunan produktiviti akibat musim tengkujuh," katanya.