Farhash sifatkan Azmin tak 'gentleman'

Farhash Wafa Salvador dan Mohamed Azmin
Farhash Wafa Salvador dan Mohamed Azmin
A
A
A

SHAH ALAM - "Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat 2019 sekerat jalan belum habis dah lari buat sidang media memang tak 'gentleman', sindir Setiausaha Politik kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak kepada Timbalan Presiden parti itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Sindiran itu dibuat Farhash Wafa Salvador susulan tindakan Mohamed Azmin mengkritik kepimpinan parti pada Majlis Makan Malam Wawasan Kemakmuran Bersama di Kuala Lumpur petang semalam.

Turut hadir beberapa pemimpin PKR pro-Azmin termasuk Naib Presiden, Zuraida Kamaruddin dan Tian Chua yang menjadikan majlis itu sebagai platform mengkritik dan meluahkan kekecewaan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Terdahulu, Mohamed Azmin bersama beberapa pemimpin PKR tidak menghadiri hari terakhir Kongres Nasional PKR 2019 di Dewan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Melaka semalam.

Ianya susulan kekecewaan beliau terhadap Anwar yang didakwa gagal memenuhi janji bagi memastikan perjalanan perbahasan kongres berjalan tanpa sebarang unsur provokasi dan sindiran.

ARTIKEL BERKAITAN: Anwar terbuka berdamai daripada ambil tindakan disiplin

Farhash turut mengingatkan Mohamed Azmin bahawa Kongres Nasional PKR 2019 sudah menyediakan pentas seluas-luasnya untuk setiap pemimpin dan akar umbi bersuara, termasuk dirinya.

Beliau turut menempelak sikap Mohamed Azmin yang marah sampai merajuk sehingga lupa pemimpin diserang adalah Anwar sendiri.

Artikel Berkaitan:

"Janganlah hina parti dan semua ahli reformasi yang telah berjuang sama. Sampai jamuan makan malam pun tak ajak kami.

"Sudah-sudahlah tu meroyan di media, Datang mesyuarat jimat sikit daripada buat di rumah atau makan-makan di hotel," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Farhash Wafa Salvador turut membidas Mohamed Azmin yang mempermainkan panggilan namanya dan mempersoalkan tempat kelahirannya sewaktu berucap di majlis makan malam semalam.

"Malaysia ini kan negara majmuk, jadi tidak hairanlah banyak nama pelik, lebih-lebih lagi saya darah kacuk, Tapi saya lahir di Ipoh Perak bukan Singapura," katanya.