X

Kindly register in order to view this article
!

Anwar terbuka berdamai daripada ambil tindakan disiplin

Anwar Ibrahim -Foto Sinar Harian SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A

SHAH ALAM - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim lebih bersikap terbuka untuk berdamai dengan kumpulan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali daripada mengambil tindakan disiplin.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Anwar bersedia duduk berbincang bagi menangani masalah melanda di peringkat dalaman parti.

Bagaimanapun menurutnya, ahli-ahli parti termasuk perwakilan yang hadir dalam Kongres Nasional PKR Ke-14 2019, semalam dilihat tidak boleh menerima mana-mana pemimpin yang gagal mematuhi disiplin organisasi.

"Hal itu termasuk dalam isu menghadiri mesyuarat, namun beliau (Anwar) bersedia untuk duduk berbincang. Keadaannya begitu buat masa ini," katanya seperti dipetik portal Malaysiakini hari ini.

Terbaharu, Azmin tidak kelihatan pada hari terakhir Kongres Nasional parti di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MiTC), semalam manakala pada hari sebelumnya, seramai 22 Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR dari pasukan timbalan presiden itu dan perwakilan meninggalkan sesi perbahasan kongres.

Sementara itu, Saifuddin menyifatkan kenyataan Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin mengenai kesanggupannya dipecat merupakan satu pengakuan bersalah daripada beliau sendiri.

ARTIKEL BERKAITAN: Zuraida, Azmin bersedia dipecat

Jelas Saifuddin, hanya orang yang melakukan sesuatu kesalahan dan pelanggaran disiplin parti akan berkata demikian.

"Hanya orang yang jiwanya bersalah yang menyebut soal pemecatan. Orang yang tahu bahawa apa yang dilakukannya itu melanggar disiplin parti, orang itu sendiri yang akan keluar dari mulutnya bahawa dia bersedia untuk dipecat," katanya.

Semalam, Zuraida berkata, beliau dan Mohamed Azmin sanggup menjadi mangsa korban demi mempertahankan perjuangan parti reformasi itu serta bersedia dipecat ekoran tindakan lantangnya mengkritik Anwar secara terbuka.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 di Hotel Renaissance semalam.

Krisis kepimpinan PKR dilihat memasuki episod baharu apabila majlis makan malam itu menjadi medan mengkritik Anwar dan penganjuran Kongres PKR yang berakhir semalam.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus