X

Kindly register in order to view this article
!

Isteri, anak pendakwa syarie maut nahas enam kenderaan

Keadaan kereta jenis Perodua Myvi yang terbabit dalam kemalangan enam kenderaan pagi tadi.
A
A

KAMPAR - Seorang guru bersama anak perempuannya terkorban dalam satu kemalangan melibatkan enam kenderaan di Kilometer 294.4 Lebuhraya Utara Selatan arah utara berhampiran Gopeng, pagi tadi.

Dalam kejadian sekitar jam 7.10 pagi itu, Ummu Maisarah Kamaludin, 33, maut di lokasi kejadian sementara anaknya, Syaima' Muhamad Hisyam, 5, meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

Ketika kejadian, kedua-dua mangsa menaiki kereta jenis Proton Perdana bersama tiga ahli keluarga lain dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur ke Ipoh.

Suami guru berkenaan yang memandu kenderaan itu, Muhamad Hisyam Zakaria, 35, yang juga Pendakwa Syarie di Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Dua lagi anak perempuan mereka, Syurafa', 2, dan Syifa', 9, yang duduk di bahagian penumpang belakang terselamat tanpa sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, selain kenderaan dinaiki keluarga berkenaan, nahas itu turut melibatkan sebuah treler dan lori serta kereta jenis Perodua Myvi, Volkswagen Passat dan Honda Civic.

Menurutnya, kejadian turut menyebabkan dua lelaki iaitu pemandu Myvi berusia 29 tahun dan pemandu Honda Civic berusia 28 tahun masing-masing patah tangan kanan dan luka di kepala sementara yang lain tidak cedera.

Keadaan kereta Proton Perdana dinaiki lima sekeluarga yang terbabit dalam nahas enam kenderaan hingga mengorbankan dua mangsa pagi tadi.
Keadaan kereta Proton Perdana dinaiki lima sekeluarga yang terbabit dalam nahas enam kenderaan hingga mengorbankan dua mangsa pagi tadi.

"Berdasarkan maklumat dan siasatan awal, kejadian berpunca apabila pemandu Myvi melanggar bahagian belakang sebuah treler sebelum berpusing dan berhenti di lorong kanan.

"Menyedari keadaan itu, sebuah lori yang belum dikenal pasti bersama kereta jenis Volkswagen Passat dan Honda Civic memperlahankan kenderaan dan sempat menyalakan lampu kecemasan.

"Secara tiba-tiba, datang kereta dinaiki lima sekeluarga tidak sempat mengelak dan melanggar kereta di hadapannya," katanya.

Beliau berkata, pelanggaran itu mengakibatkan tiga kenderaan di hadapan saling berganjak dan melanggar sesama sendiri di bahagian belakang.

Katanya, seorang wanita yang duduk di bahagian belakang kereta jenis Proton Perdana disahkan maut di tempat kejadian sementara anak perempuan yang duduk di bahagian hadapan sebelah pemandu meninggal dunia di hospital.

"Kedua-duanya meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala dan dada.

"Tiada tangkapan dibuat setakat ini, namun siasatan lanjut diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus