Kesedar peruntuk RM54,000 setahun untuk tuisyen pelajar

Pelajar yang menerima bantuan pada Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan hari ini.
Pelajar yang menerima bantuan pada Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan hari ini.
A
A
A

GUA MUSANG - Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) memperuntukkan RM54,000 setahun untuk program Pintar Harapan Kesedar@KPLB.

Program ini meliputi kelas tuisyen membabitkan seramai 1,080 pelajar pelajar yang akan menghadapi peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pengerusinya, Datuk Sazmi Miah berkata, seramai 320 pelajar SPM di sembilan sekolah dan 760 murid yang mengambil UPSR di 19 sekolah di seluruh Kelantan Selatan terlibat setiap tahun.

"Program Pintar Harapan Kesedar@KPLB yang bermula pada tahun 2015 diteruskan sehingga kini bagi membantu pelajar cemerlang dalam akademik," katanya selepas Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan kepada 100 pelajar menerusi RainForest Challenge (RFC) Kesedar@KPLB di kawasan Rehat dan Rawat Gua Musang, di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Kesedar, Dr Aminuddin Yaakob, Timbalan Pengurus Besar Kesedar (Pengurusan), Wan Muhd Rahimi Wan Salleh dan Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan), Othman Ismail.

Selaibn itu, Kesedar juga menyediakan kursus dan latihan di bawah Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya (PLKK) yang bertujuan meningkatkan kemahiran kumpulan sasar supaya mereka mampu mendapat pekerjaan sekali gus mengubah nasib keluarga.

Katanya, kursus tersebut mengambil masa tiga hingga 10 bulan.

"Pada tahun ini, Kesedar menerima peruntukan sebanyak RM225,000 di bawah PLKK.

Artikel Berkaitan:

"Kursus yang ditawarkan ialah Kursus Jahitan Pakaian, Kursus Dandanan Rambut Wanita, Kursus Pemanduan Kenderaan Perdagangan (Lesen Kelas E) dan Kursus Prime Mover Operator," katanya.