X

Kindly register in order to view this article
!

Azmin kesal digelar pengkhianat

Mohamed Azmin ketika berucap dalam majlis makan malam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 di Hotel Renaissance di sini hari ini. - Foto Sinar Harian MOHD IZARI ROSLI
A
A

KUALA LUMPUR - Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mempertikaikan tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan sejarah Si Kitol dan Raja Mendelia ketika berucap pada Kongres Nasional PKR 2019 di Melaka semalam.

Menurut Azmin, banyak lagi sejarah lain yang boleh dijadikan contoh selain watak yang digambarkan sebagai pembelot yang membawa kepada kejatuhan kerajaan Melaka di tangan Portugis.

“Kalau nak baca sejarah, kita ada 1001 sejarah yang lain. Kenapa nak baca sejarah yang boleh memecah perpaduan dalam parti,” katanya pada majlis makan malam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 di Hotel Renaissance di sini hari ini.

Turut hadir, tiga Naib Presiden PKR iaitu Zuraida Kamaruddin, Tian Chua dan Ali Biju, selain Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, R Sivarasa; Ketua Wanita PKR, Haniza Mohamed Talha; Timbalan Ketua Wanita PKR, Dr Daroyah Alwi; Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Hilman Idham dan bekas Timbalan AMK, Dr Afif Baharudin.

Azmin berkata, beliau kesal kerana setelah 20 tahun berada dalam perjuangan parti, akhirnya kini digelar pengkhianat.

Mohamed Azmin ketika berucap dalam majlis makan malam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 di Hotel Renaissance di sini hari ini. - Foto Sinar Harian MOHD IZARI ROSLI
Mohamed Azmin ketika berucap dalam majlis makan malam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 di Hotel Renaissance di sini hari ini. - Foto Sinar Harian MOHD IZARI ROSLI

“Pada 4 April 1999, saya berada di dewan ini (Hotel Renaissance) sebagai salah seorang yang terpanggil membela PKR. Bukan saya seorang tetapi Tian Chua, Zuraida, Sivarasa, Kamarudin pun ada dalam dewan ini.

“Tetapi setelah 20 tahun pada 7 Disember 2019, saya digelar pengkhianat. Yang menggelar saya pengkhianat tiada pun dalam dewan ini.

"Yang menghalau saya, baru kenal PKR dua hari yang lalu,” katanya.

Azmin turut kecewa dengan apa yang berlaku dalam parti yang dibina rakyat itu.

“Apa yang berlaku dalam PKR ini? Setelah 20 tahun kita berjuang, dipenjarakan tiba-tiba inilah pengkhianat parti.

“Kamu belum kenal Azmin Ali. Ya, aku tenang. Tapi tenang-tenang aku...,” katanya yang turut mendapat sorakan para hadirin.

Beliau juga menegaskan bahawa parti reformasi yang wujud sejak 20 tahun itu bukan dibina oleh individu atau keluarga sebaliknya oleh rakyat Malaysia.

“Parti ini bukan dibina oleh satu orang, bukan dibina oleh satu keluarga, parti ini dibina oleh rakyat Malaysia dari Perlis sampai ke Johor.

“Orang Melayu, Cina, India, Iban, Dayak, Hulu, itulah PKR. Inilah uniknya Keadilan,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!