Wanita bertudung di kuil hanya teman suami

Gambar wanita bertudung hadir majlis pertunangan di kuil yang tular.
Gambar wanita bertudung hadir majlis pertunangan di kuil yang tular.
A
A
A

GEORGETOWN - Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) sudah menjalankan siasatan berhubung kehadiran wanita Melayu beragama Islam pada upacara pertunangan di sebuah kuil di Air Itam di sini semalam.

Abdul Malik Abul Kassim
Abdul Malik Abul Kassim

Yang Dipertuanya, Datuk Abdul Malik Abul Kassim berkata, hasil siasatan pihaknya mendapati wanita Melayu Islam yang hadir pada upacara pertunangan di kuil itu adalah isteri kepada bapa lelaki yang bertunang dalam majlis berkenaan.

Beliau berkata, wanita itu menemani suaminya untuk menghadiri majlis pertunangan anak lelakinya hasil perkongsian hidup dengan isteri pertama yang masih beragama Hindu.

"Semua ini salah faham. Kita sudah siasat. Wanita itu adalah isteri kedua lelaki tersebut yang mana, suaminya menghadiri majlis pertunangan anak lelakinya yang masih beragama Hindu. Isteri pertamanya sudah meninggal dunia.

"Lelaki tersebut sudah memeluk agama Islam dan dia hanya menghadiri majlis pertunangan anaknya bersama isteri keduanya di kuil tersebut.

"Oleh itu, tiada isu mengenai perkara ini, hanya persepsi melalui gambar yang ditular," katanya ketika dihubungi Sinar Harian tadi.

Terdahulu, tular tiga keping gambar wanita Melayu beragama Islam yang bertudung hadir pada majlis pertunangan sebuah kuil di Flat Rifle Range, Kampung Baharu Air Itam dan dihadiri beberapa lagi individu lain.

Artikel Berkaitan:

Gambar tersebut mendapat pelbagai reaksi warganet yang kebanyakannya meminta perkara itu disiasat oleh pihak berkuasa.

Artikel Disyorkan