Jadi cermin tegur kekurangan parti, kata Mahfuz

Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar. - Foto ASRIL ASWANDI SHUKOR
Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar. - Foto ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

SHAH ALAM - Seluruh pimpinan dan ahli Parti Amanah Negara (Amanah) perlu saling menjadi 'cermin' antara satu sama lain bagi menegur dan memperbaiki kekurangan yang wujud dalam parti.

Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar berkata, ini kerana cermin tidak pernah berbohong dan sentiasa menunjukkan perkara yang sebenar.

Beliau berkata, sebagai contoh, sepanjang Konvensyen Nasional Amanah kali ini berlangsung, para perwakilan yang hadir memberi pelbagai teguran kepada parti.

"Perwakilan kita semalam jadi cermin, beri teguran, pandangan walaupun pedas dan tajam.

"Terima kasih sebab para perwakilan tak bohong dan teguran kepada pimpinan ini menunjukkan kasih sayang dan cinta sebab semua mahu tengok Amanah ada hala tuju yang jelas," katanya ketika ucapan penggulungan sempena Konvensyen Nasional Amanah 2019 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini semalam.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, pada hari terakhir konvensyen ini tiba pula giliran pimpinan untuk menjadi cermin memberitahu cara-cara untuk membaiki bersama kelemahan serta kekurangan yang ada.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan terdapat tiga perkara yang 'tidak boleh diulang semula' iaitu masa, kata-kata dan kesempatan.

"Masa jika sudah berlaku kita tak boleh patah balik, jadi gunakan dengan sebaiknya.

Artikel Berkaitan:

"Kata-kata pula jika terlepas tak boleh buat apa, hanya boleh minta maaf jika sudah terlanjur," katanya.

Beliau berkata, kesempatan atau peluang juga datang sekali sahaja dan manfaatkanlah sebaiknya ketika menjadi kerajaan.

"Limpahkanlah pengaruh yang diperjuangkan Amanah.

"Kita ada berapa ramai ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri), ahli Parlimen, ahli majlis dan pemegang jawatan dalam agensi... ia ruang yang cukup untuk bina parti bagi memastikan PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15) jadi milik Amanah bersama PH (Pakatan Harapan)," katanya.