X

Kindly register in order to view this article
!

Pindaan APP akan dapat sokongan: Kula Segaran

Kula Segaran merasa sup yang disediakan pada program Sup Kongsi anjuran Ipoh Fine Arts Society hari ini.
A
A

IPOH - Kementerian Sumber Manusia berharap pindaan Akta Perhubungan Perusahaan (APP) 1967 akan mendapat sokongan besar di Dewan Negara.

Menterinya, M Kula Segaran berkata, pindaan itu untuk memperkasakan peranan kesatuan sekerja dalam negara namun ada pihak yang tidak bersetuju dengan perkara itu.

"Biar Senat (Dewan Negara) buat keputusan. Itu hak mereka (pihak tertentu) untuk bergabung dengan pembangkang (tolak pindaan APP).

"Saya hanya mahu memperluaskan dan memperkuatkan peranan kesatuan sekerja negara," katanya ketika diminta mengulas mengenai cubaan tolak pindaan APP 1967.

ARTIKEL BERKAITAN: Ada cubaan tolak pindaan Akta Perhubungan Perusahaan (APP) 1967

Kula Segaran ditemui pada program Sup Kongsi anjuran Ipoh Fine Arts Society di Rumah Pangsa Kinta Heights di sini hari ini.

Menurutnya, inisiatif baharunya itu telah mendapatkan sokongan daripada Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) negeri.

"Seperti dikatakan MTUC Sarawak bahawa tindakan kami ini dialu-alukan dan ia sepatutnya dibuat beberapa tahun lalu.

"Ini inisiatif baru yang kita buat dan kita harapkan ketika dibentangkan di Senat, ia dapat sokongan besar," katanya.

Semalam, Exco Perak, A Sivanesan mendakwa ada segelintir pemimpin kesatuan membantah pindaan ini di peringkat Dewan Negara setelah Dewan Rakyat luluskan semua pindaan.

Terdapat 32 pindaan telah dicadangkan oleh Kula Segaran di dalam APP 1967 dan 18 daripadanya membabitkan golongan pekerja.

Sebelum ini, MTUC mendakwa kementerian tersebut tidak mengadakan perbincangan secara terperinci dalam kajian pembaharuan undang-undang perburuhan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus